Mahkamah Persekutuan tolak saman LFL terhadap ‘notis pembetulan’ Singapura

Mahkamah Persekutuan tolak saman LFL terhadap ‘notis pembetulan’ Singapura

Panel lima hakim memutuskan bahawa saman itu berkaitan dengan imuniti berdaulat atau negara, di mana Malaysia tiada sebarang bidang kuasa.

Pada 2020, Menteri Dalam Negeri Singapura K Shanmugam mengarahkan Lawyers For Liberty mengeluarkan ‘notis pembetulan’ berkait kenyataan kumpulan itu mengenai hukuman mati di penjara Changi. (Gambar Facebook)
PUTRAJAYA:
Mahkamah Persekutuan menolak saman sivil difailkan Lawyers for Liberty (LFL) terhadap Menteri Dalam Negeri Singapura K Shanmugam, mengenai pertikaian kumpulan hak asasi itu untuk perisytiharan bahawa arahan ‘pembetulan’ dikeluarkan kerajaan Singapura tidak boleh dikuatkuasakan terhadap mereka di Malaysia.

Panel lima hakim yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Abang Iskandar Abang Hashim itu, membenarkan permohonan peguam negara untuk membatalkan saman itu.

Peguam negara diberi kebenaran oleh Mahkamah Tinggi pada 2020 untuk mencelah dalam saman LFL terhadap Shanmugam.

Dalam saman pemula, LFL memohon injunksi untuk menghalang kerajaan Singapura daripada menguatkuasakan undang-undang Singapura, khususnya Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Dalam Talian (Pofma) atau mengambil sebarang tindakan terhadap LFL.

Ketika menyampaikan keputusan, Abang Iskandar berkata saman itu berkaitan dengan imuniti berdaulat atau negara, yang mahkamah Malaysia tidak dapat melaksanakan sebarang bidang kuasa adjudikasi ke atas tindakan negara yang berdaulat.

Sementara itu panel yang turut dianggotai Hakim Mahkamah Persekutuan Nallini Pathmanathan, Zabariah Mohd Yusof, Rhodzariah Bujang dan Hanipah Farikullah, menolak rayuan kerajaan Malaysia untuk membatalkan saman kedua LFL, yang menyentuh hak asasi kumpulan itu untuk menyatakan pendapatnya mengenai sebarang perkara di Malaysia dan haknya yang tidak boleh dihalang oleh Akta Pofma.

Abang Iskandar berkata saman kedua itu, tidak melibatkan isu pencerobohan ke atas kekebalan negara atau kedaulatan, tetapi melibatkan pihak Malaysia yang mahkamah Malaysia mempunyai bidang kuasa untuk mendengarnya.

Beliau berkata LFL melahirkan kebimbangan dan mahu mendapatkan penjelasan mengenai hak kebebasan bersuara mereka di bawah Perlembagaan Persekutuan, berkaitan kenyataan dibuat di Malaysia yang menjadi perkara diperbincangkan dalam perundangan Singapura iaitu Akta Pofma.

“Ini, pada pandangan kami tidak ketara dan secara jelasnya tidak dapat diterima,” kata Abang Iskandar.

Kerajaan Singapura mengeluarkan ‘notis pembetulan’ kepada LFL pada 2020, berikutan kenyataan akhbar dikeluarkan kumpulan itu di laman sesawangnya, yang mendakwa kaedah kejam dan menyalahi undang-undang digunakan untuk hukuman mati terhadap tahanan di penjara Changi Singapura.

Kerajaan Singapura mendakwa artikel tersebut mengandungi kenyataan fakta palsu dan mengarahkan kumpulan itu untuk memasukkan ‘notis pembetulan’ dan kegagalan untuk mematuhi arahan pembetulan itu, akan menjadi kesalahan di bawah Akta Pofma mereka.

LFL tidak mematuhi arahan pembetulan itu, sebaliknya mereka memfailkan dua saman pemula di Mahkamah Tinggi, satu terhadap Shanmugam dan satu lagi terhadap kerajaan Malaysia.

Pada 10 Jun 2021, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan kerajaan Malaysia dan peguam negara untuk membatalkan kedua-dua saman itu, tetapi Mahkamah Rayuan pada 20 Julai 2022 membatalkan keputusan itu dan mengarahkan saman itu dihantar semula ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan penuh.

Pada 16 Mei tahun lepas, kerajaan Malaysia dan peguam negara diberi kebenaran untuk mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan dikeluarkan Mahkamah Rayuan. Prosiding rayuan itu hari ini secara dalam talian menerusi aplikasi zoom.

Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan dan Liew Horng Bin mewakili kerajaan Malaysia dan peguam negara manakala peguam Gurdial Singh Njiar, Latheefa Koya, Shahid Adli Kamarudin dan Abraham Au, mewakili LFL.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.