KKM lancar kajian permintaan, penawaran penjagaan kesihatan

KKM lancar kajian permintaan, penawaran penjagaan kesihatan

Kementerian Kesihatan berkata kajian itu akan meramalkan keperluan kesihatan negara sehingga 2045.

Hospital-admission
Kementerian Kesihatan menyeru sektor kesihatan awam dan swasta untuk menyertai kaji selidik dalam talian itu sebelum 15 Julai ini.
PUTRAJAYA:
Kementerian Kesihatan (KKM) melancarkan Kajian National Health Demand and Supply Fasa 1, bertujuan memetakan landskap penjagaan kesihatan Malaysia untuk dua dekad akan datang.

Dengan kolaborasi Kumpulan Bank Dunia, kajian itu menumpukan analisis komprehensif situasi penjagaan kesihatan di seluruh negara merangkumi aspek fasiliti kesihatan, peralatan dan sumber manusia.

KKM dalam kenyataan memaklumkan ia bertujuan untuk mengatasi ketidakseimbangan pengagihan sumber penjagaan kesihatan negara, merangkumi hospital dan klinik sehingga perkhidmatan berkepakaran serta peralatan berteknologi tinggi.

“Dengan menetapkan standard kebangsaan untuk aset kesihatan yang penting, KKM sedang berusaha untuk menambah baik sistem kesihatan yang lebih seimbang, mampan dan cekap.

“Kajian ini akan meramalkan keperluan kesihatan negara sehingga 2045, bagi memastikan Malaysia bersedia untuk memenuhi keperluan rakyat yang semakin berkembang di samping membantu dalam peralihan Malaysia ke arah menjadi negara berpendapatan tinggi,” menurut KKM.

Justeru, KKM menyeru sektor kesihatan awam dan swasta untuk menyertai kaji selidik dalam talian sebelum 15 Julai 2024 bagi membentuk masa depan penjagaan kesihatan yang lebih baik di samping memastikan setiap rakyat mempunyai akses kepada penjagaan kesihatan terbaik.

Menurut KKM, data yang diperoleh daripada kaji selidik berkenaan tertakluk kepada kerahsiaan dan tidak akan dikongsikan dengan pihak dari luar pasukan kajian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.