Helikopter tentera mendarat cemas, 3 anak kapal cedera

Helikopter tentera mendarat cemas, 3 anak kapal cedera

Dalam kejadian 1.35 pagi tadi kru pesawat sedang mengadakan latihan penerbangan di sekitar Kem Mahkota Kluang, Johor.

Pihak tentera berkata, arahan henti terbang sementara telah dikeluarkan bagi pesawat yang terpaksa mendarat cemas ketika sesi latihan awal pagi tadi. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Tiga anak kapal cedera selepas sebuah helikopter tentera terpaksa melakukan pendaratan kecemasan ketika sesi latihan di Kem Mahkota Kluang, Johor awal pagi tadi.

Dalam kejadian membabitkan pesawat M81-11 (Agusta A109 LOH) itu, mangsa terlibat terdiri daripada jurulatih helikopter, penuntut kursus dan kru kuatermaster.

Menurut kenyataan Sel Perhubungan Raya Markas Tentera Darat Malaysia, dalam kejadian 1.35 pagi itu, kru pesawat sedang mengadakan sesi latihan penerbangan malam untuk kursus ‘Army Aviation Basic Officer Course’.

“Kesemua kru yang terlibat dalam keadaan sedar dan hasil awal pemeriksaan perubatan mengenal pasti beberapa kecederaan yang dialami pegawai dan anggota seperti patah tulang belakang dan luka-luka di beberapa bahagian anggota badan serta lain-lain kecederaan yang masih belum dikenal pasti.

“Kesemua anak kapal dalam keadaan stabil dan telah dibawa ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom, Kluang, bagi menerima rawatan lanjut,” menurut kenyataan itu.

Pihak tentera berkata, arahan henti terbang sementara telah dikeluarkan bagi helikopter berkenaan.

“Ratifikasi dan ‘one-time inspection’ akan dilakukan untuk mengembalikan status terbang pesawat dengan segera.

“Dalam masa sama, satu lembaga siasatan akan disidangkan bagi mengenal pasti punca kejadian,” menurutnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.