3 maut, 1 parah kereta rempuh tiang elektrik

3 maut, 1 parah kereta rempuh tiang elektrik

Kemalangan berlaku di Simpang Renggam malam tadi membabitkan Proton Wira dinaiki empat lelaki.

langar tiang elektrik maut 3
Beberapa anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit selepas kereta dinaiki mereka melanggar tiang elektrik, tengah malam tadi.
PETALING JAYA:
Tiga maut dan seorang parah selepas Proton Wira dinaiki empat rakan itu terbabas melanggar tiang elektrik dalam kejadian di Simpang Renggam, Kluang malam tadi.

Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II Shoromi Salih dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, berkata mangsa dikenali sebagai Mohamad Ziyad Azmi, Ahmad Manan Zaini dan Muhamad Adib Ahmad Shahfarin yang masing-masing berusia 21 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi.

Menurutnya, seorang lagi mangsa, Nor Aminul Fitri Nor Azmi, 21, dihantar ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) untuk rawatan.

“Kita menerima panggilan berhubung kejadian pada 11.45 malam dan jentera sampai ke lokasi pada 11.47 malam.

“Semua mangsa yang tersepit dikeluarkan oleh Pasukan Keluaran Operasi (PKO) BBP Kluang dengan menggunakan peralatan khas,” katanya menurut Berita Harian.

Katanya, operasi ditamatkan pada 1.13 pagi itu membabitkan 14 anggota, dua jentera ERT dan masing masing sebuah jentera EMRS dan RIM.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.