
Ketua Polis Ipoh, Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, semua suspek ditahan secara berasingan di sekitar bandar itu sejak hari pertama kejadian dilaporkan.
“Saringan ujian air kencing mendapati kesemua mereka positif dadah,” katanya menurut Sinar Harian.
Terdahulu, media melaporkan pergelangan tangan kiri dengan kesan darah itu ditemui atas jalan oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Tambun ketika memadam kebakaran Toyota Vios selepas menerima panggilan kecemasan pada 11.16 pagi.
Siasatan awal polis mendapati mangsa bersama dua rakannya berusia 26 hingga 30 tahun diserang hampir 20 lelaki bersenjatakan kayu dan parang.
Dua lagi rakan mangsa hampir putus pergelangan tangan kiri dan putus urat di tapak tangan kiri. Serangan itu dipercayai ada kaitan kes perebutan kawasan bagi aktiviti pengedaran dadah.
Abang Zainal Abidin berkata, enam suspek berusia 23 hingga 37 tahun direman lima hari, manakala baki sembilan suspek berusia 35 hingga 50 tahun direman sehingga 1 dan 2 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 dan 326 Kanun Keseksaan.
Katanya, mangsa masih dalam rawatan dan menjalani fisioterapi.