Sehari selepas Sultan Sharafuddin murka, MFL kurangkan denda Selangor FC

Sehari selepas Sultan Sharafuddin murka, MFL kurangkan denda Selangor FC

MFL turut mengumumkan pemotongan tiga mata Selangor FC bagi aksi Liga Super musim ini dibatalkan.

Liga Bola Sepak Malaysia turut membenarkan penonton hadir ke perlawanan membabitkan Selangor FC menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.
PETALING JAYA:
Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengurangkan denda dikenakan terhadap Selangor FC kepada RM60,000, sehari selepas Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menyatakan rasa murka dan kecewa dengan hukuman asal.

Dalam kenyataan, MFL turut mengumumkan pemotongan tiga mata bagi aksi Liga Super musim ini dibatalkan manakala penonton turut dibenarkan hadir menyaksikan perlawanan membabitkan Selangor FC menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Bagaimanapun, bayaran pampasan kerugian yang ditanggung pasukan tuan rumah JDT dan MFL dikekalkan.

“Ahli Lembaga Pengarah MFL menggunakan budi bicara untuk mempertimbangkan semula keputusan yang dibuat pada 24 Jun ke atas Selangor FC susulan ketidakhadiran kelab itu ke Perlawanan Sumbangsih menentang JDT di Stadium Sultan Ibrahim pada 10 Mei lalu.

“Pertimbangan semula ini dibuat sebagai menjunjung kasih dan menghormati titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah,” katanya.

Semalam, Sultan Sharafuddin murka dengan hukuman tidak masuk akal dikenakan terhadap Selangor FC kerana tidak hadir aksi Piala Sumbangsih menentang JDT di Stadium Sultan Ibrahim, bulan lalu.

Baginda menyifatkannya sebagai tidak bertanggungjawab, dibuat tanpa ihsan, tidak berperikemanusiaan, dan tidak mempamerkan keprihatinan terhadap kezaliman yang berlaku

Kelmarin, MFL mengumumkan denda RM100,000 terhadap Selangor FC, bayaran pampasan kerugian ditanggung pasukan tuan rumah JDT dan MFL selain pemotongan tiga mata dalam pertandingan Liga Super 2024-2025.

Selain itu, perlawanan Liga Super melibatkan Selangor FC menentang JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya juga dimainkan tanpa penonton.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.