Polis tahan warga Amerika Latin dalang geng pecah rumah

Polis tahan warga Amerika Latin dalang geng pecah rumah

Enam lelaki warga asing dan dua wanita tempatan itu disyaki memecah masuk rumah seorang ahli perniagaan pada 31 Mei lalu menyebabkan kerugian RM7 juta.

Rusdi Mohd Isa
Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Mohd Isa menunjukkan antara barangan dirampas dipercayai hasil kegiatan pecah rumah yang didalangi enam lelaki warga asing dan dua wanita tempatan.
KUALA LUMPUR:
Polis menahan lapan anggota geng pecah rumah didalangi warga Amerika Latin serta merampas pelbagai barangan yang dicuri bernilai lebih RM4 juta.

Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Mohd Isa berkata enam lelaki warga asing dan dua wanita tempatan berusia antara 20 hingga 40 tahun itu ditahan di sekitar ibu negara dan Bangkok, Thailand.

Ia susulan kejadian pecah rumah seorang ahli perniagaan di Bukit Damansara yang kerugian kira-kira RM7 juta pada 31 Mei lepas.

Beliau berkata dalam kejadian itu, mangsa yang pulang ke kediamannya pada 11.34 malam mendapati bilik utama dalam keadaan berselerak dengan 30 koleksi jam tangan mewah pelbagai jenama, barangan kemas dan wang tunai RM20,000 lesap.

“Bertindak atas maklumat risikan, dua lelaki warga asing berusia 20 dan 22 tahun ditahan pada 6 Jun,” katanya dalam sidang media di IPD Brickfields.

Rusdi berkata susulan penangkapan itu, tiga lelaki warga asing dan seorang wanita tempatan ditahan pada 9 Jun manakala seorang lagi wanita tempatan ditangkap pada 11 Jun lepas.

Beliau berkata tangkapan terakhir melibatkan seorang lelaki warga asing dilakukan pihak berkuasa Thailand di Bangkok pada 14 Jun lepas.

“Lelaki itu dipercayai cuba melarikan diri dan waran tangkap telah dikeluarkan Mahkamah Majistret Kuala Lumpur untuk suspek dibawa ke Malaysia,” katanya.

Katanya, polis turut merampas pelbagai barangan kes termasuk 29 utas jam tangan pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM1.5 juta, 97 unit barang kemas dianggarkan bernilai RM2.5 juta serta wang tunai RM4,550.

Menurut Rusdi, kumpulan itu dilengkapi alat penyekat isyarat kamera litar tertutup dan bergerak menggunakan kenderaan sewa.

Beliau berkata modus operandi kumpulan itu ialah memecah masuk kediaman ketika penghuni tidak berada di rumah dengan kaedah mengumpil pintu rumah.

Lima suspek katanya akan dituduh di mahkamah esok di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34, Seksyen 411 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.