Budi Madani bantu serap tambahan belanja diesel, kata penerima

Budi Madani bantu serap tambahan belanja diesel, kata penerima

Saiful Ahmad dari Puncak Alam berkata, bantuan itu meringankan kos pengangkutan mengambil bekalan ayam menggunakan trak pikap.

Diesel oil
Lebih 100,000 permohonan Budi Madani diluluskan Kementerian Kewangan sejak dibuka 28 Mei lalu.
PETALING JAYA:
Seorang pembekal ayam segar di Puncak Alam berkata bantuan RM200 menerusi Budi Madani diterimanya dapat meringankan beban susulan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel sejak awal bulan ini.

Saiful Ahmad, 55, berkata selain bahan mentah kos terbesar perlu ditanggung dalam perniagaan adalah pembelian diesel untuk menggerakkan trak pikap bagi mengambil bekalan serta membuat penghantaran.

“Memanglah ada orang kata RM200 itu sikit tetapi saya faham ia diberi untuk tampung tambahan bayaran bila diesel naik.

“Bukan bermaksud untuk bayar semua, ramai mungkin salah anggap,” katanya ketika ditemui FMT.

Mulai 10 Jun lalu, harga diesel di semua stesen runcit di Semenanjung ditetapkan pada kadar RM3.35 seliter iaitu harga pasaran tanpa subsidi.

Sehubungan itu, kerajaan melaksanakan inisiatif Budi Madani bertujuan memastikan peruntukan subsidi disasarkan kepada mereka yang layak dan mengurangkan beban golongan memerlukan, dengan pemberian RM200 bantuan tunai bulanan.

Pendaftaran bagi Budi Madani dibuka pada 28 Mei lalu dan tiada tarikh tutup ditetapkan untuk permohonan bantuan itu.

Selain Budi Madani, kerajaan turut mengurangkan beban dengan meneruskan bantuan subsidi kepada kenderaan pengangkutan awam darat serta pengangkutan barangan menerusi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

Sementara itu, Presiden Persatuan Pekebun Sayur Cameron Highlands Chai Kok Lim berkata sehingga kini kira-kira 200 daripada 800 ahlinya menikmati bantuan tunai RM200 itu.

Sama seperti Saiful, Chai berkata inisiatif itu membantu mereka menyerap kos dan meneruskan operasi untuk mengeluarkan hasil pertanian.

“Ada ahli kami masih menunggu kelulusan, namun ada juga ditolak kerana tidak cukup syarat kerana jualan melebihi RM300,000 seperti disyaratkan…kami telah minta syarat dilonggarkan untuk syarikat catat jualan lebih RM1 juta.

“Perkara ini telah dimaklumkan kepada Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying dalam lawatannya baru-baru ini, kami harga keterbukaan kerajaan dengar rayuan untuk baiki dasar,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.