213 pelabur saman pengasas MYAirline berkait skim pelaburan

213 pelabur saman pengasas MYAirline berkait skim pelaburan

Saman terhadap Goh Hwan Hua, isterinya dan 17 entiti yang dikaitkan dengan ahli perniagaan itu difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Selasa.

allan goh hwan hua
Pengasas bersama syarikat penerbangan bermasalah MYAirline, Goh Hwan Hua, dan dua ahli keluargnya ditahan Bukit Aman pada Oktober tahun lalu bagi membantu siasat pengubahan wang haram di bawah Amla. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Seramai 213 pelabur memfailkan saman sivil terhadap pengasas bersama MYAirline, Goh Hwan Hua, berhubung satu skim pelaburan yang didakwa sebagai penipuan.

Peguam Jerald Gomez memfailkan saman tersebut bagi pihak anak guamnya di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Selasa.

Saman tersebut juga menamakan isteri Goh, Neow Ean Lee, sebuah syarikat di mana Neow adalah pengarah, serta 17 entiti lain yang berkaitan dengan Goh, termasuk MYAirline, sebagai defendan.

Menurut kenyataan tuntutan yang dilihat FMT, pelabur tersebut belum lagi dibayar balik wang yang mereka depositkan dalam entiti korporat di bawah kumpulan Syarikat I-Serve, yang mana Goh mempunyai kawalan efektif.

“Antara 2018 dan 2021, peserta atau pelabur yang diwakili dalam saman ini telah diperdaya dan/atau dipujuk oleh defendan pertama (Goh) dan/atau ejennya untuk mendepositkan wang mereka dengan syarat, antara lain, bahawa deposit mereka akan dikembalikan sepenuhnya, bersama dengan pembayaran pulangan faedah berkala.

“Hingga kini, peserta atau pelabur belum lagi dibayar wang mereka,” kata kenyataan tersebut.

Plaintif sedang menuntut ganti rugi untuk penipuan, kecuaian, konspirasi dan salah nyata ikhlas, serta ganti rugi teladan dan teruk, yang semuanya akan dinilai oleh mahkamah.

Sementara itu, wakil pelabur P Ratnavali Devi dalam satu sidang media berharap penderitaan pelabur-pelabur akan didengari.

“Kami mahu mengetengahkan penderitaan orang-orang yang mempercayai Goh dan meletakkan wang hasil titik peluh mereka dalam perniagaannya.

“Apabila Bank Negara menyerbu perniagaannya dan menyita hartanya pada Nov 2021, kami berdiri teguh di belakangnya (Goh) selama dua tahun dan percaya bahawa dia akan melakukan sesuatu untuk pelabur.

“Tetapi dia memungkiri janji. Jadi sebahagian kami mula berbincang sebelum memutuskan untuk mengupah seorang peguam,” katanya kepada para wartawan.

Pada 12 Okt tahun lalu, MYAirline mengumumkan bahawa ia menggantung operasi disebabkan “cabaran kewangan yang teruk”. Syarikat itu masih belum mendapat pelabur baru.

Lima hari kemudian, Goh dan dua ahli keluarganya ditahan untuk membantu siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla).

Mereka kemudiannya dibebaskan dengan ikat jamin polis.

Defenden yang dinamakan dalam saman itu adalah:

  1. Goh Hwan Hua
  2. Neow Ean Lee
  3. Advanced Digital Venture Bhd
  4. I-Serve Technology and Vacations Sdn Bhd
  5. I-Serve Travels & Tours Sdn Bhd
  6. I-Serve Online Mall Sdn Bhd
  7. MM 2217 PLT
  8. Bright Moon Venture PLT
  9. QA Smart Partnership PLT
  10. Global Wealth Elite PLT
  11. QA Elite Partnership PLT
  12. QA Premium Partnership PLT
  13. Alpha International Venture PLT
  14. QA Advance Partnership PLT
  15. Win Capital Holdings Sdn Bhd
  16. Global Prosperous PLT
  17. Win Capital I PLT
  18. New Visionproven Bhd
  19. Trillion Cove Holdings Bhd
  20. MYAirline Sdn Bhd

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.