UM dijangka tawar kursus pembedahan kardiotoraks Oktober ini, kata Zambry

UM dijangka tawar kursus pembedahan kardiotoraks Oktober ini, kata Zambry

Menteri pendidikan tinggi berkata 'diharapkan' UM akan mendapat perakuan akreditasi untuk menawarkan kursus berkenaan sebelum itu.

ZAMBRY ABD KADIR
Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir sebelum ini mendedahkan UM antara universiti dalam proses mendapatkan perakuan akreditasi bagi menawarkan kursus pembedahan kardiotoraks. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir berkata kekurangan pakar bedah kardiotoraks dalam negara dijangka dapat diselesaikan menjelang Oktober ini.

Zambry memberitahu Dewan Rakyat bahawa Universiti Malaya (UM) “diharapkan” mendapat perakuan akreditasi diperlukan untuk kursus pembedahan kardiotoraks sebelum itu.

Beliau berkata kementeriannya sudah mengadakan perbincangan dengan UM melalui Pusat Perubatannya dan mendapati universiti itu sudah merancang memperkenalkan program berkenaan.

“Menjelang Oktober, kami jangka UM dapat menawarkan kursus pembedahan kardiotoraks,” katanya menjawab soalan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) berhubung kemungkinan universiti lain menawarkan program itu.

Sebelum ini, hanya Universiti Teknologi Mara (UiTM) dilaporkan mempunyai program pakar pembedahan kardiotoraks yang diberikan akreditasi sementara oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) pada 2021, tetapi belum diiktiraf Majlis Perubatan Malaysia (MPM).

Pada 29 Mei lalu, Zambry dilaporkan berkata, UM antara universiti dalam proses mendapatkan perakuan akreditasi bagi menawarkan kursus pembedahan kardiotoraks.

Walaupun tidak menamakan universiti lain, Zambry berkata, kursus seumpama itu akan ditawarkan dalam masa terdekat sebaik sahaja institusi terbabit mendapat perakuan akreditasi.

Malaysia dibelenggu kekurangan pakar bedah kardiotoraks di hospital awam menyebabkan senarai menunggu panjang pembedahan bagi pesakit jantung yang sesetengahnya tidak dapat bertahan dalam penantian.

Zambry turut mengulangi UiTM akan mengekalkan dasar pengambilannya, dengan memetik laporan Kongres Ekonomi Bumiputera awal tahun ini yang menurutnya memerlukan universiti itu terus meningkatkan taraf sosioekonomi mereka.

Menurut laporan itu, katanya, jurang ekonomi kekal dari segi purata pendapatan bulanan, pegangan ekuiti korporat, kadar kemiskinan, pengeluaran tenaga kerja mahir dan kelayakan profesional.

“Lebih-lebih lagi kemiskinan tegar dalam kalangan Bumiputera masih memerlukan usaha berterusan. Jadi, mengekalkan dasar UiTM untuk masyarakat Melayu, Orang Asli dan anak Sabah serta Sarawak masih perlu untuk mencapai matlamat kerajaan merapatkan jurang sosioekonomi antara kumpulan etnik.

Terdahulu, MPM menggesa UiTM mengutamakan keperluan kesihatan awam dengan membuka sementara program pascasiswazah pembedahan kardiotoraks kepada pelajar bukan Bumiputera.

Tetapi, Zambry berkata belum ada perbincangan di peringkat kementerian untuk membuka UiTM kepada pelajar bukan Bumiputera.

Naib Canselor UiTM, Shahrin Sahim juga dilaporkan berkata tiada perbincangan atau cadangan mengenai perubahan dasar pengambilan pelajarnya dalam mana-mana mesyuarat Senat UiTM atau Mesyuarat Eksekutif Universiti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.