
Mirnawan berkata, sepanjang kariernya beliau sudah menyertai semua temasya sukan sejak 1992 hingga 2001 dan bangga menyarung pakaian rasmi kontinjen Malaysia yang disediakan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).
“Initiatif MOM untuk menyediakan pakaian rasmi kontinjen Malaysia yang bercorak baharu setiap kali temasya pelbagai sukan, khususnya Sukan Olimpik, merupakan suatu pengiktirafan dan penghargaan kepada atlet kebangsaan dan Olimpian yang akan berjuang untuk raja dan negara.
“Corak baharu pakaian rasmi kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024 yang bertemakan emas adalah sangat unik dan berbeza daripada pakaian rasmi yang saya miliki sebelum ini, ‘something different’,” katanya di Facebook.
Sepanjang kariernya Mirnawan beraksi dalam tiga Sukan Olimpik (1992, 1996 dan 2000), tiga Sukan Asia (1990, 1994 dan 1998), sekali Sukan Komanwel (1998) dan lima Sukan SEA (1993, 1995, 1997, 1999 dan 2001).
Beliau berkata, corak yang menonjolkan keemasan semestinya akan menyuntik semangat tambahan kepada atlet bagi meraih emas pertama di pentas Sukan Olimpik.
Terdahulu, kebanyakan peminat sukan meluahkan ketidakpuasan hati di media sosial terhadap rekaan itu yang didakwa sedikit terbelakang dan tidak membangkitkan semangat berbanding pakaian rasmi digunakan kontinjen negara sebelum ini.
Bagaimanapun, MOM tetap dengan pendirian tidak melakukan perubahan terhadap rekaan pakaian rasmi akan digunakan atlet dan pegawai pada temasya di Paris itu.