Seorang lagi direman berkait rasuah projek RM1.6 bilion

Seorang lagi direman berkait rasuah projek RM1.6 bilion

Suspek dikatakan meminta dan menerima rasuah daripada beberapa syarikat sebagai balasan melantik mereka mengambil alih kerja menyiapkan lebuh raya yang sebelum ini dijalankan syarikat lain.

sprm
Suspek berusia 40-an direman tiga hari bermula hari ini hingga 28 Jun selepas mendapat perintah daripada Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin di Mahkamah Majistret Putrajaya. (Gambar SPRM
PETALING JAYA:
Seorang lagi individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana turut disyaki terbabit rasuah kerja menyiapkan satu pakej pembinaan projek lebuh raya bernilai lebih RM1 bilion di Lembah Klang.

Suspek berusia 40-an direman tiga hari bermula hari ini hingga 28 Jun selepas mendapat perintah daripada Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Sumber berkata, suspek ditahan susulan tangkapan terhadap lapan individu termasuk seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) bergelar Datuk bersama dua pengurusan tertinggi syarikat konsesi lebuh raya oleh SPRM sebelum ini, kerana dipercayai meminta dan menerima rasuah membabitkan pembinaan dua projek lebuh raya di Lembah Klang bernilai lebih RM1.6 bilion.

Katanya, suspek meminta dan menerima rasuah daripada beberapa syarikat sebagai balasan kerana melantik syarikat-syarikat tersebut untuk mengambil alih kerja menyiapkan lebuh raya berkenaan yang sebelum ini dijalankan oleh satu syarikat lain.

“Suspek kesembilan ini ditahan di ibu pejabat SPRM ketika hadir memberi keterangan kira-kira 7 malam semalam.

“Jumlah rasuah yang membabitkan semua suspek masih lagi dalam siasatan bagaimanapun pembinaan dua dua projek lebuh raya ini keseluruhannya berjumlah hampir RM11 bilion,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Hishamuddin Hashim, mengesahkan penahanan dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.

Semalam, CEO tersebut bersama dua pengurusan tertinggi syarikat konsesi lebuh raya direman empat hari hingga 28 Jun, manakala lima lagi individu iaitu pemilik syarikat direman tiga hari hingga 27 Jun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.