Penyasaran subsidi: ‘U-turn’ atau taraf kredit turun, pakar beri amaran

Penyasaran subsidi: ‘U-turn’ atau taraf kredit turun, pakar beri amaran

Penganalisis ekonomi berkata usaha memperbaiki fiskal negara menerusi penyasaran subsidi akan sia-sia jika dasar diubah.

Penjimatan RM4 bilion setahun menerusi penyasaran subsidi diesel boleh disalurkan untuk manfaat orang ramai terutama B40.
PETALING JAYA:
Penganalisis ekonomi yakin penyasaran subsidi bermula diesel dilaksanakan selepas kajian menyeluruh dan tiada keperluan kerajaan melayan desakan supaya dasar itu dihentikan separuh jalan.

Mereka berpendapat, usaha menjimatkan perbelanjaan untuk disalurkan kepada golongan layak dan memperbaiki fiskal itu akan sia-sia jika dasar diubah, terutama dalam mendapat penarafan daripada badan antarabangsa bagi menarik pelabur.

Penasihat Ekonomi Kementerian Sumber Manusia dan Emiratisasi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Yusof Saari, berkata ‘pusingan U’ hanya akan menjejaskan integriti negara bahkan mengalami penurunan penarafan kredit.

“Keputusan tidak konsisten dan kerap berubah-ubah boleh mempengaruhi kepercayaan pelabur dan mencetuskan ketidakstabilan ekonomi,” katanya kepada FMT.

Yusof Saari
Yusof Saari.

Putrajaya melaksanakan penyasaran subsidi bahan api bermula diesel pada 10 Jun lalu dengan menetapkan harga runcitnya RM3.35 seliter di Semenanjung, langkah dijangka menjimatkan RM4 bilion setahun untuk kegunaan seperti pengangkutan awam.

Subsidi bersasar itu bagi menggantikan subsidi menyeluruh, yang menyebabkan negara menanggung kos RM81 bilion tahun lalu dengan penyasaran bantuan demi mengurangkan defisit bajet 2024 kepada 4.3% daripada kadar keluaran dalam negara kasar (KDNK), berbanding 5% pada 2023.

Bagi mengurangkan beban, program Budi Madani menyediakan bantuan bulanan RM200 kepada pemilik kenderaan dan pekebun kecil selain meneruskan subsidi pengangkutan awam serta syarikat pengangkutan barangan untuk mengurangkan kesan rantaian.

Namun, langkah itu dipersoal pembangkang termasuk Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin yang dua tahun lalu pernah menyatakan kerajaan boleh menjimatkan RM20 bilion melalui pelaksanaan skim subsidi bersasar.

Sementara itu, Aimi Zulhazmi Rashid dari Universiti Kuala Lumpur Business School pula berkata usaha bagi memperbaiki kewangan negara memerlukan komitmen dan ‘kekuatan’ kerajaan terutama rakyat sejak sekian lama menikmati subsidi.

Aimi Zulhazmi Abdul Rashid.

“Bagi jangka panjang ia perlu dilakukan sekarang untuk manfaat jangka panjang,” katanya yang memberi contoh seperti tambah baik rating kredit dan menurunkan kadar faedah kerajaan.

Tahun lalu, Moody’s mengekalkan penarafan kredit Malaysia pada ‘A3 stabil’, dengan Fitch Ratings meletakkan kepada ‘BBB+ stabil’, dan S&P Global Ratings pada tahap ‘A- stabil’.

Semua tiga agensi penarafan kredit merujuk kepentingan mengurangkan jumlah tanggungan subsidi negara dan belanja berhemah ketika mengumumkan rating tahun lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.