Kes curi tabung masjid di Bukit Jelutong, 2 kertas siasatan dibuka

Kes curi tabung masjid di Bukit Jelutong, 2 kertas siasatan dibuka

Polis berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 380 dan 379/511 Kanun Keseksaan selepas pengurusan masjid membuat dua laporan polis.

Masjid Tengku Ampuan Jemaah
Hussein Omar Khan berkata pihaknya giat mengesan suspek mencuri tabung sumbangan orang ramai di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah baru-baru ini. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Dua kertas siasatan dibuka berhubung kecurian tabung Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah di Bukit Jelutong, Shah Alam.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 380 dan 379/511 Kanun Keseksaan selepas pihaknya menerima dua laporan dibuat pengurusan masjid.

“Setakat ini, kes dalam siasatan dan polis giat mengesan suspek,” katanya menurut Harian Metro.

Semalam, Selangor Royal Office dilaporkan berkata Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah murka dengan kecurian tabung sumbangan orang ramai di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah baru-baru ini.

Lebih mendukacitakan baginda, pengurusan masjid itu tidak melaporkannya kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

“Baginda mengingatkan mencuri adalah perbuatan keji dan satu dosa besar, khususnya apabila melibatkan kebajikan untuk golongan kurang berkemampuan seperti asnaf dan anak yatim,” menurut kenyataan Selangor Royal Office semalam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.