Baling batu ke arah bas penyokong Perak, 2 masih direman

Baling batu ke arah bas penyokong Perak, 2 masih direman

Polis berkata tindakan dua suspek itu lebih kepada perbuatan nakal mengusik penyokong lawan yang tidak mendatangkan kecederaan dan kerosakan besar.

Tangkap layar video tular menunjukan sekumpulan penyokong Perak FC menahan dua individu membaling batu ke arah bas mereka sebelum menyerah suspek kepada polis.
PETALING JAYA:
Tindakan nakal mahu mengusik penyokong pasukan lawan punca dua pelajar ditahan selepas membaling batu ke arah bas membawa penyokong Perak FC di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) Ahad lalu.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata dua pelajar lelaki itu ditahan orang awam sebelum diserahkan kepada polis dan kedua-masih kini direman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

“Tiada motif spesifik, tetapi lebih kepada perbuatan nakal mengusik penyokong lawan. Insiden itu tidak mendatangkan kecederaan dan kerosakan besar,” katanya menurut Harian Metro dalam sidang media di IPD Kajang.

Hussein menyeru penyokong memeriahkan sukan dengan harmoni dan mengelakkan pertelingkahan atau pergaduhan.

Terdahulu, tular di media sosial dakwaan insiden membabitkan penyokong Selangor FC dan Perak FC di sebuah stesen minyak di NKVE selepas tamat perlawanan Liga Super membabitkan dua pasukan itu di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya dengan keputusan memihak tuan rumah 2-1.

Klip video tular di X mendakwa sekumpulan penyokong skuad The Bos Gaurus (TBG) mengheret seorang peminat Selangor FC.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.