663 projek rumah terbengkalai diselamatkan

663 projek rumah terbengkalai diselamatkan

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata projek diselamatkan itu meliputi nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM57.09 bilion.

Nga Kor Ming berkata usaha menyelamatkan projek terbengkalai dilaksanakan oleh Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST). (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Sebanyak 663 projek perumahan swasta sakit dan terbengkalai diselamatkan dalam tempoh kurang dua tahun selepas Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) ditubuhkan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata projek itu memberi kelegaan kepada 78,554 pembeli rumah dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM57.09 bilion dapat diselamatkan.

“Bagi tempoh 2023 task force KPKT selesaikan 452 projek perumahan swasta sakit dan terbengkalai, yang melibatkan 53,697 unit, nilai GDV berjumlah RM39.14 bilion.

“Sementara itu dari Januari hingga 31 Mei, sebanyak 211 projek perumahan swasta sakit dan terbengkalai berjaya pulih dengan nilai GDV RM17.28 bilion membabitkan 24, 857 unit rumah,” katanya pada sidang Dewan Rakyat.

Beliau menjawab pertanyaan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) yang mengemukakan soalan berhubung bantuan KPKT terhadap pembeli rumah yang berdepan dengan masalah projek sakit.

Dalam pada itu, Nga berkata sektor perumahan tidak terjejas dengan penyasaran semula subsidi diesel memandangkan pengusahanya sejak sekian lama tidak menikmati subsidi bahan api itu.

“Semua pihak sedar, sektor komersial tak menikmati subsidi diesel, dahulu tidak ada, sekarang pun tidak ada, jadi tidak ada impak langsung kepada harga rumah.

“Tetapi kementerian akan pantau supaya tidak berlaku pengambilan untung yang berlebihan,” tambahnya.

Beliau turut memberi jaminan, KPKT akan menyelesaikan isu 24 projek PR1MA sakit menjelang hujung tahun ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.