
Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, kaedah penguatkuasaan lebih ‘menggerunkan’ boleh mendatangkan rasa takut kepada sindiket penyeludupan bahan api itu, mungkin meningkat di Malaysia Timur yang masih menikmati subsidi untuk pengguna biasa.
Menerusi penyasaran subsidi diesel bermula 10 Jun lalu, harga di Semenanjung diselaraskan kepada RM3.35 seliter manakala pengguna Sabah dan Sarawak kekal membayar RM2.15 seliter.
Beliau berkata, tugas penguatkuasaan lebih berkesan melalui penyertaan ATM jika KPDN berdepan masalah kekurangan anggota yang juga perlu memantau penyeludupan di sempadan luas Indonesia dan Filipina.

“Sepakat dengan tentera. Apabila melibatkan mereka, penyeludup biasanya takut,” katanya kepada FMT.
Sebelum ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan mengecualikan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel di Sabah dan Sarawak kerana memahami bahan api itu antara keperluan utama rakyatnya yang digunakan secara meluas.
Susulan itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali berkata tindakan tegas ke atas penyeludup bahan api itu di negeri berkenaan akan ditingkatkan tahun ini, selain melaksanakan mekanisme membabitkan pelbagai agensi penguatkuasaan untuk mencegah ketirisan.
Sementara itu, Shahul Hamid berkata jika kerajaan ingin memperluaskan penyasaran subsidi diesel ke Sabah dan Sarawak untuk mencegah kegiatan penyeludupan, ia harus dilakukan secara berperingkat

“Sepatutnya boleh naik sikit-sikit…10 hingga 20 sen. Sekurang-kurangnya tidak nampak ketara sangat,” katanya.
Felo Kanan Institut Masa Depan Malaysia, Madeline Berma, pula berpendapat kerajaan mungkin perlu mempertimbangkan meningkatkan jumlah bantuan RM200 sebulan bawah Budi Madani jika ingin memperluaskan penyasaran subsidi di Sabah dan Sarawak.
“Ini terutama untuk mereka yang tinggal di luar bandar atau pedalaman. Masih ramai menggunakan diesel untuk pengangkutan darat dan air (sungai),” katanya.