Dr M waspada plot guling beliau dalam PH, dakwa buku

Dr M waspada plot guling beliau dalam PH, dakwa buku

Bekas pembantu Najib Razak, Romen Bose berkata, Dr Mahathir Mohamad mengesyaki PKR berkomplot terhadapnya dan percaya DAP lebih setia kepadanya.

Dr Mahathir Mohamad yang merupakan perdana menteri menerajui kerajaan Pakatan Harapan pada 2018 merasakan DAP lebih setia kepadanya berbanding PKR. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Sebuah buku baharu mendakwa sepanjang menjadi perdana menteri buat kali kedua, Dr Mahathir Mohamad berwaspada terhadap rancangan dalam Pakatan Harapan (PH) untuk menjatuhkannya sebagai ketua kerajaan.

Mahathir merasakan PKR memberi ancaman lebih besar kepada kepimpinannya berbanding DAP, tulis bekas perunding politik, Romen Bose dalam bukunya bertajuk “Shattered Hopes” yang menggambarkan peristiwa selepas PH berkuasa pada 2018.

Bose menulis, Mahathir menganggap DAP lebih setia kepadanya dan memberitahu pembantunya bahawa Lim Guan Eng “kurang membuatnya sakit kepala” dan lebih bersedia mengikut kehendak Mahathir.

Menurut Bose, satu-satunya menteri PKR yang “berdiri teguh bersama” Mahathir ialah Azmin Ali.

Katanya, Ketua Polis Negara ketika itu, Hamid Bador kerap ke pejabat Mahathir untuk memaklumkan “perkembangan terkini” dalam kalangan pemimpin PH.

Hamid, bekas ketua Cawangan Khas, dikatakan memberi taklimat kepada Mahathir mengenai beberapa rancangan didakwa untuk menggulingkannya dan bahkan membuat carta memaparkan kemungkinan ahli penting dalam pentadbiran saingan.

“Walaupun Hamid membuatkan Mahathir sedar terhadap apa yang dikatakan ancaman ketara, tetapi Mahathir tidak cuba menentangnya dengan melantik penyokong setia (dia sendiri),” tulis Bose.

Kit Siang dan rakyat Malaysia di luar negara

Bose mendakwa Cawangan Khas memantau beberapa pemimpin DAP, termasuk veteran parti itu, Lim Kit Siang, yang menurutnya berminat “membina semula populasi Cina”.

Hamid berkata, Lim agak berjaya dan rakyat Malaysia berbangsa Cina yang pulang ke tanah air akan meningkatkan kekuatan politik masyarakat itu dalam negara dan kerajaan, tulis Bose.

Pun begitu, Mahathir menganggap DAP setia kepadanya, kata Bose sambil menambah menteri DAP menyokongnya dari segi mengambil sikap tegas terhadap akses Singapura ke ruang udara Malaysia dan dalam rundingan semula air.

Menurut Bose, sumbernya memetik Mahathir sebagai berkata, menteri DAP bukan saja menyuarakan sokongan mereka dalam Jemaah Menteri, tetapi juga secara terbuka, manakala PKR berdiam diri “dan jelas mereka tidak berpuas hati dengan sikap Mahathir terhadap Singapura”.

 

Tubuh pakatan besar Melayu

Bose juga mendakwa Mahathir berminat dengan gabungan politik besar Melayu terdiri daripada Bersatu, PAS dan Umno.

Katanya, terpulang kepada Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin untuk mewujudkan gabungan itu.

Dakwanya, beberapa puak cuba mendapatkan pembelotan menggunakan cara serta taktik sendiri, selain menegaskan Mahathir perlu kekal sebagai perdana menteri selama mungkin.

“Shattered Hopes” mula dijual 30 Jun ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.