
Malah, Suboh Md Yassin, 73, yang membuat pengakuan itu berkata bekas ketua pegawai eksekutif Nik Faisal Ariff Kamil, yang kini menjadi buruan pihak berkuasa berbohong kepada lembaga pengarah berhubung penghantaran balik dana SRC dari luar negara.
Beliau berkata demikian ketika disoal oleh peguam Najib Razak, Shafee Abdullah sebagai responden pihak ketiga dalam saman sivil USD1.18 bilion SRC terhadap bekas perdana menteri dan Nik Faisal.
Shafee: Saya membuktikan kepada anda dan anda bersetuju bahawa terdapat banyak pemalsuan yang berlaku dalam pengurusan?
Suboh: Ya.
Shafee: Adakah anda bersetuju dengan saya bahawa Nik Faisal tidak menghantar balik dana walaupun berjanji kepada lembaga?
Suboh: Ya.
Disoal lanjut oleh peguam sama ada terdapat penyangak dalam pengurusan yang menjalankan rancangan SRC, saksi itu juga menjawab dengan “ya”.
Di bawah pengurusan baharu, SRC memfailkan saman itu pada Mei 2021, mendakwa Najib melakukan pecah amanah dan salah guna kuasa, secara peribadi mendapat manfaat daripada dana syarikat dan menyalahgunakan dana tersebut.
Ia juga memohon pengisytiharan mahkamah yang menganggap Najib bertanggungjawab ke atas kerugian syarikat akibat pelanggaran tugas dan amanahnya dan untuk Najib membayar balik kerugian RM42 juta yang ditanggung syarikat itu.
Perbicaraan di hadapan Hakim Ahmad Fairuz Zainol Abidin bersambung esok.