
Bekas ketua Umno Selangor berkata, sehingga kini beliau masih tidak menyertai mana-mana parti, menegaskan penyertaannya dalam MN kerana percaya NGO itu adalah platform untuk menyatupadukan orang Melayu serta rakyat Malaysia.
“Tidak ada kena-mengena dengan (calon) pilihan raya. Saya bebas (tiada parti). Kalau nak jadi calon, tak perlu masuk MN pun boleh,” katanya kepada FMT.
Noh mengulas kenyataan penganalisis politik, Awang Azman Pawi, pelantikan sebagai timbalan presiden MN dipercayai bagi persediaan menjadikannya calon pilihan raya PN jika berlaku kekosongan kerusi Parlimen.
Awang dari Universiti Malaya berkata, langkah itu juga sebagai persediaan PN dan MN ‘menonjolkan’ Noh dalam menyuarakan isu semasa bagi meraih sokongan.
Pelantikan Noh dibuat dalam mesyuarat Dewan Tertinggi MN pada 20 Jun lalu.
Presiden MN, Annuar Musa, berkata pelantikan itu bertujuan mengukuhkan lagi MN pada peringkat pusat dan negeri bagi memastikan objektif serta inisiatifnya dapat dilaksanakan dengan berkesan.
MN adalah NGO ditubuhkan selepas kegagalan pakatan dengan nama serupa, dianggotai Umno dan PAS pada 2022.
Noh yang dipecat Umno tahun lalu kerana melanggar disiplin parti pada PRU 2022 berkata, antara sebab beliau menyertai MN kerana keahlian NGO itu dilihat lebih terbuka.
Katanya, MN disertai individu daripada pelbagai latar belakang dan parti politik.
Sementara itu, Noh meramalkan tidak berlaku PRK enam kerusi Ahli Parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
“Mungkin tak jadi,” katanya ringkas.
Khamis lalu, Bersatu menyerahkan notis pemakluman kekosongan kerusi enam Ahli Parlimennya yang terhenti keahlian serta-merta kepada pejabat speaker Dewan Rakyat.
Naib Presiden Bersatu, Ronald Kiandee, berkata notis kekosongan kerusi Parlimen Jeli, Gua Musang, Bukit Gantang, Kuala Kangsar, Tanjong Karang dan Labuan ditandatanganinya selaku ketua whip parti dan sudah diterima pejabat Johari Abdul.