Permohonan subsidi diesel lulus serta-merta

Permohonan subsidi diesel lulus serta-merta

Menteri Armizan Mohd Ali berkata permohonan lengkap SKDS meliputi 33 jenis pengangkutan darat awam dan barangan akan diberikan kelulusan serta-merta.

diesel
Setakat 8 pagi ini jumlah keseluruhan kenderaan pengangkutan awam dan barangan diluluskan subsidi diesel bawah SKDS ialah 226,957 melibatkan 75,541 syarikat.
PUTRAJAYA:
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang menyelaraskan rayuan sektor pengangkutan tertentu, yang ingin menyertai Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) untuk dibawa kepada jawatankuasa rayuan melibatkan pelbagai kementerian dan agensi.

Menterinya, Armizan Mohd Ali berkata perkara itu seterusnya akan diangkat untuk pertimbangan mesyuarat Jemaah Menteri.

Beliau berkata, permohonan lengkap SKDS yang meliputi 33 jenis pengangkutan darat awam dan barangan akan diberikan kelulusan serta-merta.

“Permohonan boleh dibuat melalui pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my/ dan surat kelulusan akan dikeluarkan serta-merta, untuk membolehkan syarikat pengangkutan yang berjaya terus membuat permohonan kad fleet kepada syarikat minyak pilihan melalui sistem yang sama.

“Proses permohonan adalah mudah dan cepat, kerana syarikat hanya perlu mengisi maklumat terhad dan pengesahan boleh dibuat segera melalui integrasi dengan sistem Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya dalam kenyataan

Armizan berkata, syarikat tersenarai dalam 33 jenis pengangkutan darat awam dan barangan yang berkelayakan, disarankan membuat permohonan segera.

“Kelulusan yang diperoleh hingga 30 Jun 2024, membolehkan syarikat pengangkutan memohon bayaran tuntutan balik kadar perbelanjaan atas harga subsidi, melalui bukti resit pembelian sehingga syarikat pengangkutan menerima fleet card daripada syarikat minyak pilihan,” katanya.

Selaras kenyataan Kementerian Kewangan (MoF) pada 12 Jun, bayaran tuntutan balik akan dilaksanakan bermula Julai ini untuk mereka yang mendaftar dan mendapat kelulusan SKDS hingga 30 Jun.

Prosedur permohonan tuntutan dan tatacara pembayaran balik akan dimaklumkan oleh MOF dalam masa terdekat.

Armizan berkata, sekiranya berlaku penyalahgunaan kad fleet oleh pihak tidak bertanggungjawab, KPDN tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas termasuk menarik balik kelulusannya.

Beliau berkata, KPDN juga menegaskan semua peniaga terutama kepada mereka yang menerima kemudahan subsidi diesel melalui kad fleet, tidak menaikkan harga dengan memberikan alasan penetapan harga diesel baharu sebagai punca kenaikan harga barangan atau perkhidmatan mereka.

Setakat 8 pagi hari ini, jumlah keseluruhan kenderaan pengangkutan awam dan barangan yang diluluskan subsidi diesel bawah SKDS ialah sebanyak 226,957 melibatkan 75,541 syarikat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.