Kerugian RM5.3 juta dilapor akibat penipuan pelaburan mesin layan diri

Kerugian RM5.3 juta dilapor akibat penipuan pelaburan mesin layan diri

Kerugian dicatatkan sejak tahun lepas menerusi 57 laporan polis, menurut JSJK Bukit Aman.

DATUK SERI RAMLI MOHAMED YOOSUF
Pengarah JSJK Bukit Aman Ramli Mohamed Yoosuf berkata, siasatan kes penipuan skim pelaburan mesin layan diri yang dilaporkan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Skim penipuan membabitkan pelaburan mesin minuman layan diri merekodkan kerugian lebih RM5.3 juta sejak tahun lepas, menurut 57 laporan polis yang dibuat.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman Ramli Mohamed Yoosuf berkata, siasatan kes-kes terbabit dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Polis menggesa mana-mana individu yang menjadi mangsa skim penipuan ini tampil membuat laporan di balai polis berhampiran untuk tindakan siasatan selanjutnya,” katanya, lapor Bernama.

Beliau menasihati orang ramai agar tidak melabur secara ‘membuta tuli’ dan mendapatkan pandangan serta nasihat agensi seperti Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti.

Orang ramai diminta menghubungi Pusat Respon Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 sekiranya mempunyai sebarang kebimbangan berhubung penipuan.

Semalam, media melaporkan sebuah syarikat yang bekerjasama dengan sebuah yayasan terkenal didakwa melakukan penipuan skim pelaburan mesin minuman layan diri membabitkan kerugian RM1.8 juta.

Setiausaha Agung MHO Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya menerima 19 aduan daripada mangsa yang menyertai skim itu sebelum penularan wabak Covid-19

Menurutnya, syarikat terbabit menawarkan dividen lumayan dan manfaat lain kepada mangsa yang menyertai skim itu, namun mereka tidak menerima pulangan yang dijanjikan.

Susulan sidang media oleh MHO itu, Ramli mengesahkan, pihaknya telah menerima laporan daripada mangsa yang terkesan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.