
Jabatan Perikanan dalam kenyataan memaklumkan perkara itu dikenal pasti melalui bantuan dan laporan diterima daripada badan bukan kerajaan (NGO) tempatan, operator selam skuba dan penyelam skuba serta pemantauan kelunturan karang yang dijalankan NGO dan penyelidik tempatan.
Jabatan itu juga sedang memantau rapi beberapa tapak Kepulauan Taman Laut susulan lebih 50% terumbu karang terjejas dan berdasarkan tinjauan dijalankan dari April hingga Jun, antara kawasan itu ialah Pulau Payar, Kedah; Pulau Perhentian, Pulau Redang dan Pulau Tenggol di Terengganu; Pulau Tioman, Pahang dan Pulau Pemanggil, Johor.
“Kebanyakan terumbu yang terjejas berada di perairan cetek kurang 10m. Tapak ini sedang dipantau rapi oleh Jabatan Perikanan dan pelbagai pihak untuk mengesan perubahan dalam situasi kelunturan,” menurut kenyataan itu.
Kelunturan karang adalah tindak balas semula jadi karang terhadap tekanan alam sekitar sehingga menyebabkan batu karang menjadi putih manakala kelunturan secara besar-besaran merujuk kepada kelunturan berskala besar pelbagai spesies batu karang di kawasan luas disebabkan kenaikan suhu air laut melebihi paras purata normal suhu tahunan dalam tempoh berpanjangan.
Mengenai tindak balas menangani perkara itu, Jabatan Perikanan bekerjasama dengan wakil dari Sabah dan Sarawak serta penyelidik tempatan dan NGO untuk menubuhkan Malaysia Coral Bleaching Response Committee (MCBRC) bagi mengumpul maklumat dan mengambil tindakan terhadap kelunturan karang.
“Jika kelunturan melebihi 80%, tindakan intervensi lanjut pengurusan mungkin termasuk sekatan akses sementara untuk melindungi terumbu yang terjejas.
“Bagaimanapun, Jabatan Perikanan memberi jaminan kepada semua pihak berkepentingan bahawa seboleh-bolehnya, gangguan kepada aktiviti pelancongan yang disebabkan oleh intervensi pengurusan ini akan diminimumkan,” menurut kenyataan itu.
Menurutnya, ia untuk mengurangkan tekanan yang disebabkan oleh terumbu yang sudah lemah bagi memastikan kelangsungan hidup organisma marin pada masa depan.
Jabatan Perikanan turut menggesa semua pihak melaporkan sebarang kemunculan kelunturan karang serta menyeru penglibatan awam untuk membantu bersama-sama meminimakan kesan kelunturan karang.
Pengusaha pelancongan di pulau-pulau Taman Laut juga digalakkan mengawal jumlah pelancong yang terlibat dalam aktiviti rekreasi air bagi mengurangkan tekanan ke atas terumbu karang.