Vesel laut dalam wajib pasang kod QR menjelang 2026

Vesel laut dalam wajib pasang kod QR menjelang 2026

Jabatan Perikanan berkata inisiatif itu permudah banteras nelayan asing kaut hasil perikanan negara secara haram.

Vesel laut
Jabatan Perikanan mahu bendung isu pengklonan vesel tempatan dan ketirisan sumber ikan ke negara jiran. (Gambar APMM)
PETALING JAYA:
Jabatan Perikanan Malaysia (DoF) akan mewajibkan pemasangan dan pelaksanaan kod Quick Response (QR) ke atas semua vesel beroperasi di perikanan tangkapan laut dalam (Zon C2) mulai 2026.

Ketua Pengarah, Adnan Hussain, berkata inisiatif itu akan membantu pihaknya membanteras nelayan asing mengaut hasil perikanan negara secara haram, selain akan diperluaskan kepada vesel penangkapan ikan Zon C dan pelaksanaannya bersama Sistem Identifikasi Vesel (SIV).

“Pelancaran SIV telah membantu DoF membanteras perikanan secara haram yang tidak dilaporkan dan tidak dikawal (IUU) di Malaysia, seperti isu pengklonan vesel tempatan dan ketirisan sumber perikanan ke negara jiran dapat dibendung.

“Ini terbukti melalui kes tangkapan yang berlaku pada Januari 2022 di negara Thailand melibatkan lima buah vesel tempatan yang ditahan penguat kuasa negara tersebut, yang pengecaman empat buah vesel penangkapan ikan tempatan itu telah dikenal pasti DoF dan disahkan melalui plat kod QR yang dipasang ke atas vesel berkenaan,” katanya menurut Bernama.

Jabatan telah melancarkan sistem berkenaan melalui teknologi kod QR yang dipasang di vesel penangkapan ikan laut dalam di Majlis Perundingan industri (MPI) peringkat kebangsaan, di Kuantan.

Beliau berkata, SIV dibangunkan DoF bagi menentukan ketulenan vesel tempatan dengan kos sebanyak RM602,500 pada 2020 dan diperluaskan sehingga 2024 dengan penambahbaikan dari segi ketahanan dan reka bentuk keselamatan tahan lasak terhadap perubahan cuaca serta persekitaran marin.

Sementara plat kod QR versi 2.0, beliau berkata ia dinaik taraf dan telah diuji ketahanan di makmal Jabatan Bioproses dan Teknologi Kimia, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor.

“Sebanyak 301 vesel daripada 500 vesel C2 di negeri Pahang, Kelantan, Terengganu, Perlis, Perak, Pulau Pinang, Johor, Kedah, Sarawak, dan Wilayah Persekutuan Labuan telah dipasang dengan sistem berkenaan.

“Pemantauan dibuat oleh DoF dan agensi penguatkuasaan melalui aplikasi SIV yang diintegrasi dengan sistem jabatan sedia ada iaitu Sistem Rekod Vesel Menangkap Ikan Malaysia (MFVR) dan e-Lesen, yang boleh membantu menentukan ketulenan vesel tempatan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.