PRK DUN Sungai Bakap buka tirai hari ini

PRK DUN Sungai Bakap buka tirai hari ini

Hari mengundi awal ditetapkan pada 2 Julai manakala hari mengundi 6 Julai dengan kempen akan berlangsung 14 hari bermula hari ini hingga 11.59 malam 5 Julai.

Petugas SPR bersiap sedia untuk proses penamaan calon PRK Sungai Bakap di Dewan Serbaguna Jawi, Nibong Tebal, pagi ini. (Gambar Bernama)
NIBONG TEBAL:
PRK DUN Sungai Bakap membuka tirainya hari ini dengan penamaan calon berlangsung di Dewan Serbaguna Jawi, Taman Desa Jawi.

Proses penamaan calon bermula pada 9 pagi dan calon diberikan tempoh sejam hingga 10 pagi untuk mengemukakan borang pencalonan.

Selepas itu, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Khairulnizam Hashim akan mengumumkan nama calon layak bertanding kira-kira 11 pagi.

Setakat semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan enam borang pencalonan dijual.

SPR menetapkan hari mengundi awal bagi PRK DUN Sungai Bakap pada 2 Julai ini manakala hari mengundi 6 Julai, dengan kempen akan berlangsung selama 14 hari bermula hari ini hingga 11.59 malam 5 Julai.

Rabu lalu, kerajaan perpaduan terdiri Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menamakan bekas pengarah Institut Aminuddin Baki cawangan utara Joohari Ariffin sebagai ‘ayam tambatan’ mereka untuk merampas kerusi DUN itu manakala Perikatan Nasional (PN) mempertaruhkan bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal Abidin Ismail.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.

Berdasarkan Daftar Pemilih Pilihan Raya setakat 24 Mei lalu, sejumlah 39,279 orang layak menunaikan tanggungjawab masing-masing pada PRK itu membabitkan 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.

Seramai 552 petugas dilantik bagi mengendali proses PRK itu manakala lebih 600 anggota polis ditugaskan untuk menjaga keselamatan.

Kerusi DUN Sungai Bakap dimenangi Nor Zamri, yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal, pada PRN Pulau Pinang Ogos tahun lalu menewaskan calon PH Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

Ini adalah PRK kelapan selepas PRU15 yang sebelum ini menyaksikan PRK Parlimen Kuala Terengganu (Terengganu); PRK DUN Simpang Jeram dan PRK Parlimen Pulai (Johor); PRK DUN Pelangai (Pahang); PRK DUN Jepak (Sarawak); PRK Parlimen Kemaman (Terengganu) dan PRK DUN Kuala Kubu Baharu (Selangor).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.