
Premier Sarawak Abang Johari Openg berkata kedua-dua kerajaan persekutuan dan negeri mempunyai hasrat yang sama untuk melahirkan lebih ramai bakat bagi meneruskan usaha pembangunan negara.
“Guru pula berkehendakkan anak didiknya pandai. Saya pasti anda semua mahukan anak murid anda berjaya dan menyumbang sesuatu kepada negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Pendidikan Sarawak 2024.
Abang Johari berkata kerjasama beliau dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam usaha membangunkan sektor pendidikan di Sarawak bukanlah perkara baharu kerana sebelum ini mereka pernah menjadi menteri yang bertanggungjawab untuk sektor itu dalam era 90-an.
“Saya sudah bincang dengan perdana menteri, saya kata kenapa kita tidak bekerjasama mengenai pendidikan, seperti ketika anda (Anwar) menteri pendidikan (sebelum ini) dan saya menjaga pendidikan di negeri,” katanya dan menambah hasrat itu sudah disuarakan kepada Anwar sewaktu lawatan beliau ke Kota Samarahan baru-baru ini.
Beliau berkata Sarawak menyatakan kesediaan untuk melaksanakan pembangunan pendidikan seperti pembaikan sekolah dan infrastruktur daif yang menjadi tanggungjawab persekutuan menggunakan dana kerajaan negeri terlebih dahulu, sebelum dibayar balik oleh kerajaan pusat.
Dalam pada itu, Abang Johari turut menyatakan penghargaannya kepada kerajaan persekutuan yang bersetuju untuk menurunkan kuasa pelaksanaan keputusan berkaitan pembangunan pendidikan di Sarawak kepada pengarah pendidikan negeri.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan persekutuan yang memberi kuasa kepada pengarah pendidikan sarawak dalam menguruskan pendidikan di Sarawak,” katanya.