
Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, langkah itu juga sebagai persediaan PN dan MN ‘menonjolkan’ Noh dalam menyuarakan isu semasa bagi meraih sokongan.

“Tindakan ini dapat dilihat sebagai langkah oportunistik yang lebih mementingkan pengaruh politik individu daripada agenda kolektif MN, yang boleh merosakkan kredibiliti MN di mata pengundi.
“Langkah ini juga dihidupkan menjelang PRK Sungai Bakap dan Nenggiri,” katanya kepada FMT, mengulas pelantikan Noh yang dibuat dalam mesyuarat Dewan Tertinggi MN pada 20 Jun lalu.
Semalam, Presiden MN Annuar Musa berkata pelantikan Noh bertujuan mengukuhkan lagi MN pada peringkat pusat dan negeri bagi memastikan objektif serta inisiatifnya dapat dilaksanakan dengan berkesan.
MN adalah NGO ditubuhkan selepas kegagalan pakatan dengan nama serupa, dianggotai Umno dan PAS pada 2022.
Noh dipecat Umno tahun lalu kerana melanggar disiplin parti pada PRU 2022.
Dalam pada itu, Awang berkata pelantikan Noh juga sebagai ‘medium persediaan untuk menyerang Umno’ jika enam kerusi Parlimen dikosongkan dan berlaku PRK.
Katanya, strategi mereka adalah menggunakan bekas pemimpin Umno yang tersingkir untuk melemahkan parti itu.

Sementara itu, penganalisis politik Noor Nirwandy Mat Noordin tidak pasti adakah pelantikan Noh sebagai strategi membantu PN dalam menghadapi PRK Sungai Bakap.
Bagaimanapun, beliau berharap MN boleh menjadi NGO yang menyemak imbang dasar sedia ada, bukan seteru politik kepada kerajaan.
“Negara perlu kestabilan politik dan lebih utamakan kepada rakyat,” katanya.