
Bastian Pius Vendargon berkata, peranan parti politik terhad sekadar memberi pemakluman kepada speaker yang ahlinya meletak jawatan atau terhenti keahlian parti.
“Keputusan menentukan kekosongan jika berbangkit, terletak di tangan speaker. Jika ya, speaker perlu memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mengadakan PRK,” katanya kepada FMT.
Vendargon mengulas susulan ulasan bekas speaker Dewan Rakyat, Azhar Harun, mendakwa speaker tidak mempunyai hak mempertikai interpretasi perlembagaan parti.
Muncul dalam audio siar berjudul ‘Bersama Wan Saiful’ awal minggu ini, Azhar berkata interpretasi kepimpinan parti ke atas perlembagaannya adalah muktamad dan tidak boleh dicabar di mahkamah.
Sebelum ini, Bersatu menegaskan enam wakil rakyat yang disifatkan penentang parti terhenti keahlian, berdasarkan pindaan perlembagaannya, baru-baru ini.
Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 digubal selepas pergelutan kuasa dalam Umno pada 1987, bertujuan melucutkan hak mahkamah terhadap sebarang bidang kuasa berkait hal ehwal parti politik.

Vendargon berkata, Bersatu mungkin menggunakan hujah enam Ahli Parlimen tersebut terhenti keahlian parti bawah Perkara 49A(1)(a)(ii) Perlembagaan Persekutuan, sekali gus berlaku kekosongan luar jangka mengikut akta antilompat.
“Bagaimanapun, keenam-enamnya mungkin mengambil pendirian mereka dipecat Bersatu,” katanya memaklumkan kekosongan tidak berlaku dalam keadaan demikian.
“Di sini berlaku kekaburan melibatkan pendirian berbeza Ahli Parlimen berkenaan dan Bersatu”.
Vendargon berkata, Johari tidak terikat dengan keputusan speaker DUN Kelantan, baru-baru ini.
Rabu lalu, Speaker DUN Kelantan Mohd Amar Abdullah mengisytiharkan kekosongan kerusi luar jangka di Nenggiri susulan pemakluman Bersatu bahawa penyandangnya, Azizi Abu Naim, terhenti keahlian parti.

Peguam Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, berkata Johari bertanggungjawab meneliti perkara berbangkit dan menafsirkan isu tercetus mengikut undang-undang, tanpa perlu terikat kepada interpretasi parti ke atas perlembagaannya.
“Ada alasan penghakiman di Mahkamah Persekutuan menyatakan tiada pihak mempunyai kuasa perundangan mencabar keputusan speaker yang berkait rapat urusan Dewan Rakyat,” katanya.
Firoz berkata, speaker mesti mengguna pakai undang-undang antilompat menurut Perlembagaan Persekutuan, di mana menjadi undang-undang tertinggi negara mengatasi perlembagaan parti politik.
Tahun lalu, Mahkamah Tinggi menolak cubaan Bersatu mengosongkan empat kerusi Parlimen di Sabah, dimenangi bekas ahlinya pada PRU 2022.
Hakim Amarjeet Singh menolak permohonan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman sambil menyatakan mahkamah tidak mempunyai kuasa menyemak keengganan Johari mengisytiharkan kekosongan kerusi.
Rayuan Bersatu sedang berjalan di Mahkamah Rayuan