‘Umpan untung’, lelaki rugi RM217,000 pelaburan scam kripto

‘Umpan untung’, lelaki rugi RM217,000 pelaburan scam kripto

Mangsa percaya selepas modal awal RM10,500 mendapat pulangan lebih RM12,000.

hacker scammer
Polis berkata, mangsa memasukkan RM217,000 dalam tiga akaun berbeza, namun sebaik mahu mengeluarkannya suspek meminta bayaran tambahan RM225,000.
PETALING JAYA:
Seorang lelaki kerugian lebih RM200,000 susulan terpedaya ‘umpan keuntungan’ kononnya hasil pelaburan kripto.

Timbalan Ketua Polis Batu Pahat, Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, berkata mangsa berusia 54 tahun dijanjikan keuntungan 20% daripada modal dilabur dengan minimum RM500.

Katanya, mangsa kemudian memasukkan modal RM10,500 dalam dua akaun bank berbeza dan semakan mendapati akaun kripto miliknya terdapat keuntungan RM12,222.82.

“Suspek kemudian telah meminta mangsa melabur lagi jika mahu keuntungan yang lebih besar,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, mangsa dihubungi menerusi aplikasi Whatsapp lalu diberi pautan laman web untuk diisi butiran peribadi dan emel.

Beliau berkata, antara tempoh 8 hingga 14 Jun mangsa yang tertarik dan percaya kepada pelaburan itu membuat tiga pindahan wang dalam tiga akaun berbeza secara berperingkat berjumlah RM217,000.

“Apabila mangsa mahu mengeluarkan semua keuntungan berkenaan (mangsa) diberitahu suspek bahawa akaun kripto mangsa telah disekat,” katanya sambil menambah mangsa diberitahu membayar RM225,000 jika ingin ‘membuka sekatan’.

Shahrulanuar berkata, mangsa kemudian curiga dan yakin dirinya telah ditipu.

Polis mengingatkan orang ramai tidak mudah percaya dengan promosi pelaburan menjanjikan pulangan lumayan.

Kes disiasat di bawah 420 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.