
Philip Koh, profesor adjung di Universiti Malaya, merujuk bahawa Johor bukan sebahagian negeri Melayu Bersekutu, dibentuk British pada 1895.
Katanya, negeri berkenaan sentiasa dilayan berbeza oleh kerajaan British.
Koh memberi contoh kes di Mahkamah Rayuan England, Mighell lawan Sultan Johor (1894), di mana sultan berjaya dalam hujahnya bahawa mahkamah United Kingdom, tiada bidang kuasa terhadap baginda memandangkan statusnya sebagai pemerintah berdaulat.
Katanya, kedudukan sultan disokong surat daripada pejabat kolonial mengesahkan Johor negeri merdeka.
“Kes ini menggambarkan sejarah kompleks status Johor dan menambah perspektif signifikan terhadap perbincangan semasa melibatkan federalisme dan dasar fiskal,” katanya kepada FMT.
Katanya, pemerintah beraja British mempunyai perjanjian dengan Johor ditandatangani sembilan tahun lebih awal merujuk Johor sebagai sekutu, bukannya kekuasaan atau pergantungan. Ia juga mengiktiraf sultan sebagai pemerintah berdaulat yang merdeka.
Koh mengulas sokongan Hassan pada Isnin lalu, terhadap gesaan Pemangku Sultan Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, bagi negeri itu dilayan sebagai rakan dalam persekutuan, bersamaan kedudukan dinikmati Sabah dan Sarawak dalam persekutuan.
Hassan berkata, rekod sejarah menguatkan status Johor sebagai negeri merdeka, berbanding Melaka, Pulau Pinang, dan Singapura, membentuk Negeri-Negeri Selat.
Koh berkata, ulasan Tunku Ismail sebahagian daripada ‘jangkaan dalam kalangan negeri untuk berkongsi pendapatan fiskal’.
Bagaimanapun, peguam Haniff Khatri Abdulla tidak bersetuju, merujuk semua negeri Melayu, termasuk Johor merupakan pihak dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan termaktub dalam Akta Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu 1957.
Katanya, dokumen berkenaan tidak memberikan apa jua keistimewaan kepada Johor.
“Dalam undang-undang kita tidak ambil kira sama ada naratif itu ada asas atau tidak. Kita lebih tekankan sama ada ia bertepatan secara Perlembagaan atau undang-undang,” katanya kepada FMT.
Haniff berkata, Perlembagaan Persekutuan tidak memberikan Johor status sama seperti Sabah dan Sarawak.
“Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan menyenaraikan negeri-negeri membentuk persekutuan itu dengan Johor tersenarai bersama negeri lain, tanpa sebarang peruntukan khas,” katanya.