Mekanik didakwa cuba bunuh tunang bekas isteri

Mekanik didakwa cuba bunuh tunang bekas isteri

Muhammad Hafizi Burhan, 33, mengaku tidak bersalah selepas tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ooi Sheow Yean.

Muhammad Hafizi Burhan, 33, didakwa di Mahkamah Sesyen George Town, hari ini. (Gambar Bernama)
GEORGE TOWN:
Seorang mekanik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan cuba membunuh seorang lelaki yang dipercayai tunang kepada bekas isterinya minggu lepas.

Muhammad Hafizi Burhan, 33, membuat pengakuan itu selepas tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ooi Sheow Yean.

Lelaki itu didakwa melakukan perbuatan dengan niat menyebabkan kematian ke atas Mohariez Mokhtar dengan menikamnya menggunakan sebilah pisau lipat berukuran 5cm.

Kesalahan itu didakwa dilakukan bapa dua anak itu di koridor sebuah flat di Jalan Bukit Gambir dekat sini pada 5.50 pagi, 10 Jun lepas.

Timbalan Pendakwa Raya Syairah Khalil yang mengendalikan kes tidak menawarkan jaminan bagi Muhammad Hafizi, dan dia tidak diwakili peguam.

Kes dikemukakan bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda. Jika perbuatan itu menyebabkan kecederaan, maka hukuman penjara boleh dikenakan sehingga 20 tahun.

Mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 24 Julai sebagai tarikh serahan dokumen.

Sementara itu, Muhammad Hafizi turut dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas tuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap bekas isterinya, Asma Wahab.

Dia didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengeluarkan kata-kata ‘hang buka pintu, aku nak jumpa anak, kalau tak buka, aku bunuh hang’ di flat yang sama, kira-kira 7 pagi, 30 Mei lepas.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya

Timbalan Pendakwa Raya M Darrshini yang mengendalikan kes itu menawarkan jaminan RM5,000 bagi tertuduh.

Bagaimanapun, Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 24 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes.

Di Mahkamah Majistret berasingan, Majistret Azlan Basri menjatuhkan hukuman penjara 15 bulan dari tarikh sabitan kepada Muhammad Hafizi selepas dia mengaku bersalah atas tuduhan melakukan perbuatan khianat dengan memecahkan cermin depan dan cermin pintu kereta bekas isterinya, menyebabkan kerugian RM1,500.

Kesalahan didakwa dilakukan pada 2 April lepas kira-kira 10.10 malam di hadapan flat yang sama di Jalan Bukit Gambir.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Syairah Khalil mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.