
PETALING JAYA: Suspek disyaki menikam mati isterinya kerana menuntut fasakh direman seminggu sehingga 27 Jun.
Semalam, lelaki berusia 36 tahun itu menyerah diri di Balai Polis Batu Gajah, Perak, pada 2 petang selepas maklum kepada polis dia membunuh mangsa di sebuah bilik hotel, di Jalan Pejabat Pos, Batu Gajah.
Menurut Berita Harian, suspek disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Ketua Polis Batu Gajah Md Noor Aehawan Mohammad dilaporkan, berkata suspek disyaki membunuh mangsa yang berusia 32 tahun kerana tidak puas hati apabila wanita itu meneruskan tuntutan fasakh.
Beliau berkata, mayat mangsa ditemui di bilik hotel tersebut dengan kesan tikaman serta sebilah pisau.