‘Haji Aqil jaga bapa’, kata anak jemaah Malaysia hilang 2 hari di Makkah

‘Haji Aqil jaga bapa’, kata anak jemaah Malaysia hilang 2 hari di Makkah

Mohd Basharudin Shah yang berusia 60 tahun dilaporkan hilang selepas melaksanakan rukun melontar jamrah di Mina, Makkah.

Jemaah haji hilang mekah
Gambar terkini Mohd Basharudin Shah (kanan) yang ditemui selepas dua hari hilang di Mina. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang wanita lega apabila bapanya yang hilang selama dua hari selepas melaksanakan rukun melontar jamrah di Mina, Makkah ditemui selamat oleh jemaah haji Malaysia.

Bercakap kepada FMT, Farrah Idriani berkata kehilangan bapa Mohd Basharudin Shah, 60, dimaklumkan agensi swasta mengendalikan pakej kira-kira 6 pagi semalam.

Susulan itu, mereka mencari ikhtiar dari tanah air untuk mencari bapa termasuk menularkan berita itu di media sosial.

Menurutnya, kehilangan bapanya yang berlepas ke tanah suci pada 16 Mei cukup merisaukan kerana faktor kesihatannya yang menghidap penyakit darah tinggi dan strok, ditambah cuaca melebihi 50 darjah Celsius di Mina.

“Kami bimbang ayah pengsan atau rebah kerana beliau pernah kena strok disebabkan darah tinggi akibat tekanan, tambahan telefonnya juga hilang menyebabkan sukar berhubung dengan wakil agensi atau keluarga.

“Alhamdulillah selepas berita kehilangan ayah tular di media sosial, ada jemaah Malaysia menghubungi saya 1.50 pagi tadi beritahu ayah selamat dan bersamanya,” katanya yang takut membaca berita mengenai jemaah negara meninggal dunia di Makkah sepanjang tempoh kehilangan itu.

“Rupanya ayah dah hilang dua hari, cuma hanya semalam kami diberitahu mengenai kehilangannya.”

Farrah memberitahu mereka sekeluarga bersyukur kerana sepanjang kehilangan bapanya, beliau dijaga oleh seorang jemaah haji dari Malaysia dikenali Haji Aqil.

“Beliau yang jaga ayah kerana keadaan ayah tak berapa sihat disebabkan faktor usia dan masalah kesihatan,” katanya yang setakat ini masih belum dapat bercakap dengan bapanya.

Menurut rekod Pihak Berkuasa Arab Saudi, lebih 1.8 juta umat Islam seluruh dunia menunaikan rukun Islam kelima itu.

Media antarabangsa turut melaporkan ibadah haji tahun ini turut berjalan dalam cuaca panas terik dengan suhu mencecah 51.8 darjah Celsius pada Isnin.

Seramai 31,600 jemaah Malaysia berada di tanah suci ketika ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.