Dadah RM13.5 juta dirampas, sindiket guna but diubah suai tumpas

Dadah RM13.5 juta dirampas, sindiket guna but diubah suai tumpas

Polis berkata but kereta diubah suai itu hanya boleh dibuka menggunakan kad akses selepas enjin dihidupkan.

Khaw Kok Chin (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas dalam sidang media di IPD Serdang hari ini.
SERDANG:
Polis merampas dadah bernilai RM13.5 juta selepas menumpaskan sindiket pengedaran dadah dalam serbuan di sebuah rumah teres dua tingkat di Puchong, Selangor pada 12.50 tengah hari Isnin lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Khaw Kok Chin berkata seorang lelaki tempatan 36 tahun turut ditahan, dipercayai terlibat aktiviti menyimpan dan membungkus dadah di rumah terbabit sejak awal tahun ini.

Beliau berkata 71 bungkusan plastik tertera “TIE GUAN YIN” mengandungi 73.5kg ketamin dan 300 bungkusan plastik tertera “GUANYINWANG” mengandungi 308.691kg syabu dirampas di rumah sewa itu.

“Hasil siasatan polis juga mendapati suspek menggunakan kereta yang diubah suai but dengan anggaran kapasiti sehingga 80kg muatan bagi menyembunyikan dadah agar tidak dapat dihidu pihak berkuasa.

“Ruang itu berada di tempat duduk belakang kereta tersebut dan hanya boleh dibuka bahagian diubah suai menggunakan kad akses setelah enjin dihidupkan,” katanya dalam sidang media di IPD Serdang.

Khaw berkata suspek akan menggunakan kereta diubah suai itu untuk membuat penghantaran dadah di pasaran sekitar Lembah Klang dengan upah RM6,000 bagi setiap penghantaran.

“Hasil siasatan mendapati suspek tiada rekod jenayah dan ujian saringan air kencingnya juga negatif,” katanya sambil menambah suspek direman tujuh hari sehingga 24 Jun ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Turut disita harta benda dianggarkan bernilai RM37,500 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, iaitu sebuah Hyundai Sonata dan wang tunai RM500, menjadikan keseluruhan rampasan dadah dan sitaan RM13,573,112.

Katanya JSJN percaya banyak rangkaian sindiket ini masih bebas, terutama dalam kalangan pembekal.

“Orang ramai mempunyai maklumat mengenai sindiket ini diminta menyalurkannya kepada polis di talian 012-2087222 bagi membantu siasatan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.