
PETALING JAYA: Seorang pemandu maut selepas melanggar seekor lembu yang berada di lorong kanan di Kilometer 24.9 Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) dari arah Plaza Tol Jalan Duta menghala ke Sungai Buloh, pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Sarifudin Mohd Salleh, berkata kemalangan pada 4.55 pagi itu membabitkan mangsa lelaki berusia 30 tahun.
Katanya, kejadian berlaku apabila mangsa memandu di lorong paling kanan terlanggar haiwan terbabit yang berada di lorong itu.
Menurutnya, kereta dipandu mangsa kemudian terbabas melanggar pembahagi jalan.
“Mangsa mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan menurut Harian Metro.
Beliau berkata kes itu disiasat Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.