Bot karam di Sarawak, 1 daripada 2 mangsa ditemui lemas

Bot karam di Sarawak, 1 daripada 2 mangsa ditemui lemas

Mayat Balavishnu Permaloo ditemukan 50 meter dari lokasi kejadian tengah hari tadi.

Boat karam sibu
Menurut bomba, seorang lagi mangsa dikenali sebagai Rhuban Apparoo masih belum ditemukan dan operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan. (Gambar JBPM)
SIBU:
Seorang daripada dua mangsa yang hilang dalam insiden bot karam di Long Menjawah, Belaga, pada Ahad ditemukan lemas, 50 meter dari lokasi kejadian, tengah hari tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata mayat Balavishnu Permaloo berusia 36 tahun ditemukan terapung pada 1.15 tengah hari dan dibawa ke tebingan sungai oleh pasukan bomba sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Menurut bomba, seorang lagi mangsa dikenali sebagai Rhuban Apparoo berusia 30 tahun masih belum ditemukan dan operasi mencari dan menyelamat (SAR), masih diteruskan.

Beliau berkata selain pasukan keselamatan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Belaga, operasi SAR yang memasuki hari kedua hari ini turut disertai tiga agensi iaitu polis, Angkatan Pertahanan Awam dan Jabatan Sukarelawan Malaysia.

Pada 16 Jun, empat pekerja sebuah syarikat penyelenggaraan empangan Bakun dikatakan menyewa sebuah bot yang dikemudi oleh seorang penduduk kampung untuk tujuan bersiar-siar namun pada kira-kira 4.30 petang, bot tersebut telah karam akibat arus deras di Jeram Menjawah.

Akibatnya, dua daripada pekerja syarikat itu hilang dibawa arus deras manakala tiga lagi iaitu dua pekerja syarikat dan jurumudi terselamat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.