Muda intai PRK Sungai Bakap untuk bangkit semula, kata penganalisis

Muda intai PRK Sungai Bakap untuk bangkit semula, kata penganalisis

Asrul Hadi Abdullah Sani tidak menjangkakan parti itu akan menang, tetapi tidak hilang deposit akan membawa kelebihan.

Asrul Hadi Abdullah Sani berkata, Muda patut fokus kerusi campuran, di mana ia mempunyai peluang lebih realistik untuk menang, bukannya kerusi majoriti Melayu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Muda mempertimbangkan bertanding pada PRK Sungai Bakap untuk bangkit semula selepas Syed Saddiq Syed Abdul Rahman meletak jawatan sebagai presidennya, kata penganalisis.

Asrul Hadi Abdullah Sani berkata, “boleh difahami” langkah Muda mempertimbangkan untuk menyertai PRK, tetapi beliau memberi amaran parti itu perlu menggunakan pendekatan lebih strategik kerana sumbernya terhad berbanding parti lebih besar.

“Jika matlamat Muda ialah menyampaikan mesej kepada PKR, ia patut memilih kerusi di mana ia berpeluang realistik untuk dimenanginya, dengan mengambil kira identiti parti dan asas sokongannya.

“Muda akan berdepan kesukaran memenangi kerusi majoriti Melayu, sebaliknya ia perlu fokus kerusi campuran,” katanya kepada FMT.

DUN Sungai Bakap di Pulau Pinang mempunyai 59.4% pengundi Melayu, Cina 22.5%, India 17.4% dan lain-lain 0.7%.

Pada 8 Jun lalu, seorang pemimpin Muda Pulau Pinang yang enggan dinamakan memberitahu FMT, parti itu mungkin bertanding pada PRK 6 Julai nanti kerana ia “masa baik untuk bertanding” memandangkan reputasi Pakatan Harapan semakin merosot.

Katanya, Muda ingin tahu trend pengundian berdasarkan prestasi PH dan Perikatan Nasional sebagai kerajaan serta pembangkang.

Beliau berkata, data dikumpul parti itu menunjukkan reputasi PH dalam kalangan pengundi semakin merosot disebabkan prestasinya.

Muda boleh memenangi sokongan peratusan kecil pengundi daripada PKR di Sungai Bakap, tetapi Asrul meramalkan tiada perubahan ketara dalam undi terhadap parti itu.

“Selepas tiga calon Muda kehilangan deposit pada PRN Pulau Pinang lalu, mengekalkan deposit mereka untuk PRK boleh dilihat sebagai kelebihan buat parti itu.”

Tiga calon Muda yang bertanding pada PRN Ogos lalu ialah Vikneswary Harikrishnan (Perai), Lee Kim Noor (Batu Uban) dan Loh Xiang Pin (Pantai Jerejak).

Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia berkata, sukar untuk Muda memenangi kerusi itu, tetapi ia boleh berkempen mengenai isu tidak disentuh parti politik lebih besar seperti rasuah, reformasi institusi dan isu berkaitan golongan muda.

“Mungkin isu ini boleh membakar semangat pengundi di Sungai Bakap dan meningkatkan peratusan keluar mengundi, yang cenderung rendah pada PRK. Lebih banyak saingan baik untuk demokrasi dan parti kecil seperti Muda boleh menjadikan parti lebih besar bertanggungjawab.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.