Syed Saddiq boleh pertahan Muar jika undi PH-BN pecah, kata penganalisis

Syed Saddiq boleh pertahan Muar jika undi PH-BN pecah, kata penganalisis

Namun, PKR juga dilihat berpeluang besar menawan kerusi itu, berdasarkan prestasi lalu, kata James Chin.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menang pada 2018 atas tiket PKR dan pada 2022 bersama Muda, ketika parti itu bertanding bersama Pakatan Harapan.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempunyai peluang baik mengekalkan kerusi itu pada PRU16 jika Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) meletakkan calon, kata seorang penganalisis.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata Syed Saddiq boleh mengekalkan kerusi itu jika berlaku perpecahan undi antara BN dan PH.

Beliau berkata, Muar secara tradisinya dianggap sebagai kerusi Umno, dan mungkin wujud rasa tidak puas hati pengundi jika PH meletakkan calon.

Namun, James Chin dari Universiti Tasmania berpendapat PKR berada pada kedudukan terbaik untuk memenangi Muar sekiranya bertanding menentang Syed Saddiq.

“Kali terakhir beliau disokong oleh jentera PKR. Adalah realistik jika mereka menang kerusi itu,” katanya kepada FMT.

Chin berkata sokongan terhadap Syed Saddiq tidaklah sekuat yang disangka, mengambil kira jumlah besar pengundi Cina di Muar.

“Pengundi Cina akan memberikan undi mereka kepada PKR dan DAP,” katanya.

Beliau berkata Muda juga akan sukar kekal relevan dalam pertembungan tiga penjuru. “Jika PKR bertanding, Muda tidak akan ada peluang. Pada asasnya ia akan menjadi saingan antara PKR dan Perikatan Nasional (PN).”

“Sejarah telah menunjukkan dalam 30 hingga 40 tahun kebelakangan ini di Malaysia, tidak pernah wujud kuasa ketiga. Orang mencuba, tetapi ia tidak pernah berjaya,” katanya.

Minggu lalu, PKR Johor mengumumkan hasrat bertanding di Parlimen Muar, Pagoh dan Mersing, dengan Ketuanya Dr Zaliha Mustafa menamakan Muar sebagai kerusi berpotensi tinggi untuk dimenangi.

Pada 2018, Syed Saddiq menang di Muar atas tiket PKR ketika masih menjadi ahli Bersatu. Beliau mengekalkan kerusi itu pada 2022 di bawah tiket Muda apabila parti itu bertanding bersama PH.

Beliau keluar daripada blok kerajaan pada 2023 untuk menyertai pembangkang, dengan alasan kecewa terhadap kelambatan pelaksanaan reformasi oleh kerajaan perpaduan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.