‘Duta online’ tak babit kos tambahan, kata Nga

‘Duta online’ tak babit kos tambahan, kata Nga

Menteri kementerian perumahan dan kerajaan tempatan itu berkata program Sentuhan Maya terdiri daripada kakitangan kementerian itu sendiri.

Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming berkata program berkenaan diperkenalkan untuk mempromosi produk dan perkhidmatan kementerian itu dengan lebih baik. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming berkata program Sentuhan Maya atau ‘duta dalam talian’ tidak melibatkan sebarang kos tambahan kerana ia terdiri daripada sukarelawan di kementerian itu sendiri.

Nga berkata program berkenaan diperkenalkan untuk mempromosi produk dan perkhidmatan kementerian itu dengan lebih baik.

“Program ini bertujuan untuk membina kapasiti dalam penjawat awam dalam penggunaan media sosial dan teknologi komunikasi baru khususnya dalam era digitalisasi kini.

“Inisiatif ini tidak melibatkan sebarang kos tambahan kerana ia membabitkan para sukarelawan dari pelbagai jabatan dan agensi di bawah KPKT yang teruja untuk turut serta,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Nga, penggunaan ‘duta luar’ atau pempengaruh media sosial boleh menelan kos ratusan ribu ringgit.

“Peranan ‘duta online’ adalah untuk menyampaikan mesej jelas kepada rakyat mengenai program, produk serta perkhidmatan yang ditawarkan oleh KPKT dan agensi di bawahnya.

“Selain itu ia dapat memberikan ruang untuk mereka menyuarakan pendapat secara terbuka dan kreatif mengenai perkhidmatan kerajaan Madani,” katanya.

Nga pada Khamis lalu, memgumumkan penubuhan pasukan ‘duta online’ yang dilantik daripada kalangan 200 kakitangan kementeriannya untuk menyebarkan maklumat dan dan menangkis fitnah di alam maya.

Bagaimanapun, bekas ketua pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Puad Zarkashi semalam berkata, pelantikan ‘duta online’ akan menyebabkan jentera media sosial kerajaan bertindih dan “cacamarba”.

Ini kerana, katanya, kerajaan sudah mempunyai beberapa entiti dengan fungsi serupa, seperti Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) dan Komuniti Madani di bawah Kementerian Komunikasi.

J-Kom adalah penjenamaan semula Jasa, untuk menyampaikan maklumat kerajaan yang tepat dan sahih kepada rakyat, selain mendapatkan maklum balas.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil hari ini berkata pihaknya akan meneliti isu pertindihan ‘duta online’ bagi menangkis fitnah dengan Nga bagi menjamin penyelarasan maklumat yang ingin disampaikan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.