Pembelian berulang RON95 tak dibenarkan di stesen minyak Kelantan

Pembelian berulang RON95 tak dibenarkan di stesen minyak Kelantan

Taktik mengumpul petrol bersubsidi itu untuk diseludup ke Thailand paling tinggi dikesan di Kelantan.

KPDN berkata arahan tidak membenarkan pembelian berulang RON95 di stesen minyak akan diperluaskan ke Perlis, Kedah, dan Perak.
PETALING JAYA:
Pembelian berulang untuk pengisian RON95 di semua stesen minyak di Kelantan tidak lagi dibenarkan, selepas ada pihak dikesan mengumpul petrol bersubsidi itu untuk diseludup ke Thailand.

Menurut pegawai kanan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), arahan ini akan diperluaskan ke Perlis, Kedah, dan Perak.

“Taktik pembelian berulang RON95 ini paling tinggi dikesan di negeri itu (Kelantan),” kata Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Bahagian Penguatkuasa KPDN, Shamsul Nizam Khalil, lapor Berita Harian.

Shamsul menambah anggota sindiket biasanya menggunakan kenderaan dengan nombor plat tempatan untuk melakukan pengisian penuh RON95, dan akan sekali lagi membuat pembelian penuh walaupun tidak sampai ke tahap perjalanan sepatutnya.

“Kita syak minyak diisi itu akan cuba diselewengkan ke negara jiran,” katanya.

Berkenaan negeri sempadan lain, Shamsul berkata anggota KPDN ditempatkan di stesen-stesen minyak kawasan sempadan untuk tujuan pemantauan, walaupun arahan belum dikeluarkan.

Beliau berkata pihaknya turut memanfaatkan kamera litar tertutup (CCTV) untuk pemeriksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.