Semangat untuk hidup, pendaki Gunung Denali nekad merangkak cari bantuan

Semangat untuk hidup, pendaki Gunung Denali nekad merangkak cari bantuan

Hampir putus asa, Zainudin Lot, 47, berkata beliau dan rakan pendaki berada di tempat perlindungan buatan sendiri selama 4 hari akibat cuaca buruk.

Peserta ekspedisi pendakian Gunung Denali, Alaska, Zainudin Lot bertemu ibunya, Hasidah Hamid, sejurus tiba di KLIA hari ini. (Gambar Bernama)
SEPANG:
Peserta ekspedisi pendakian Gunung Denali, Alaska, Zainudin Lot nekad merangkak meminta pertolongan dalam keadaan cuaca mencapai suhu -25 darjah Celcius selepas terperangkap dalam perjalanan turun dari puncak gunung itu pada 28 Mei lepas.

Mengakui hampir berputus asa, Zainudin, 47, berkata beliau dan rakannya Zulkifli Yusuf, 37, berada di tempat perlindungan buatan sendiri selama empat hari akibat cuaca buruk.

“(Zulkifli) meninggal dunia pada hari kedua … kemudian hari seterusnya, saya lihat ada helikopter berlegar tetapi tidak boleh mendarat, (kemudian) saya keluar lambai tangan dan guna sisa kekuatan yang ada untuk beritahu saya masih hidup.

“ … kali ketiga helikopter datang, saya kuatkan semangat merangkak keluar dari tempat perlindungan. Saya toleh dan nampak helikopter datang selamatkan saya,” katanya kepada pemberita selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Zainudin mengakui kejadian itu menyebabkan trauma dari segi mental berbanding fizikal kepada dirinya yang mengalami kecederaan di bahagian jari dan kaki.

Ditanya sama ada beliau akan berhenti mendaki, Zainudin berkata, beliau menerima kejadian yang berlaku sebagai ketentuan Allah, dan ia tidak melemahkan semangatnya untuk terus mendaki pada masa akan datang.

“Kita tahu risiko dan apa minat kita. Apa yang berlaku …. (sebenarnya, buat saya) lebih kuat. Saya bersyukur dapat balik jumpa mak, keluarga dan anak-anak. Terima kasih kepada semua yang mendoakan,” katanya.

Sementara itu, kakak sulungnya Rohana, 55, menzahirkan kesyukuran adiknya, yang diibaratkan sebagai ‘mati hidup semula’, selamat.

“(Zainudin) memang seorang yang sukakan aktiviti lasak dan kami syukur dia selamat.

“Kepulangannya ini boleh dianggap sebagai hadiah Hari Raya Aidiladha,” katanya.

Ibu Zainudin, Hasidah Hamid, 73, turut bersyukur anaknya selamat pulang ke tanah air selepas mengharungi kejadian di luar jangkaan mereka.

“Sedih bila tahu dia terperangkap. Dia cuma suruh sabar … saya selalu doakan dia selamat dan Alhamdulillah dia terselamat,” katanya.

Pada 1 Jun lepas, Kelab Alpine Malaysia (ACM) memaklumkan tiga pendaki Malaysia terkandas pada ketinggian 19,700 kaki di gunung tertinggi di benua Amerika Utara itu, sejak 28 Mei.

Zulkifli dilaporkan meninggal dunia pada 6 pagi, 29 Mei (waktu tempatan) di tempat perlindungannya di gunung tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.