Sebahagian besar isu air Sg Bakap, Seberang Perai selesai, kata PBAPP

Sebahagian besar isu air Sg Bakap, Seberang Perai selesai, kata PBAPP

CEO PBAPP, K Pathmanathan berkata, baki masalah bekalan air di kawasan tanah tinggi dan hujung talian akan selesai tidak lama lagi.

Chow Kon Yeo
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow merasmikan loji DAF Bukit Panchor di Nibong Tebal.
NIBONG TEBAL:
Sebahagian besar masalah bekalan air dihadapi pengguna Sungai Bakap dan Seberang Perai Selatan selesai selepas loji rawatan air di Bukit Panchor bernilai RM18.6 juta siap dibina, kata Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).

CEO PBAPP, K Pathmanathan berkata, aduan daripada 1,500 pengguna isi rumah dan komersial yang menghadapi gangguan bekalan air berkurangan secara ketara selepas loji berkapasiti 10 juta liter sehari (JLH) itu mula beroperasi Disember lalu.

“Mereka yang berdepan masalah berterusan adalah di kawasan lebih tinggi dan hujung talian, kami jangka dapat selesaikannya tidak lama lagi,” katanya pada perasmian loji pengapungan udara terlarut (DAF) Bukit Panchor di sini.

Beliau berkata, sebelum ini, kebanyakan kawasan di Seberang Perai Selatan bergantung kepada saluran paip dari sumber kira-kira 50km ke utara di Butterworth.

Menurutnya, bekalan air melalui saluran ini menjadi terbatas susulan peningkatan permintaan disebabkan pembangunan pesat sejak beberapa tahun ini.

Katanya, loji DAF Bukit Panchor, yang dimulakan bersama kerajaan negeri dan PBAPP setahun lalu, direka bentuk untuk menangani keadaan itu.

Pathmanathan berkata, loji itu memerlukan fasa pelarasan untuk menggantikan sepenuhnya bekalan air terdahulu dari Butterworth, membabitkan pelarasan injap terperinci merentasi pelbagai bandar di daerah berkenaan.

Bagi memastikan bekalan mencukupi, katanya, sebuah lagi loji air “kompak” sedang dibina di sepanjang Sungai Kerian, Pulau Pinang yang menelan belanja RM4 juta dan akan menambah 2.4 JLH kepada bekalan air.

Ketika ini, Seberang Perai Selatan memerlukan 195 JLH dan loji rawatan air Sungai Kerian bernilai RM171 juta yang dijadualkan siap pada 2028 dijangka dapat meningkatkan lagi bekalan air.

Menurutnya, kerja menaik taraf loji air utama Butterworth bernilai RM31 juta hampir siap dan dijangka bakal memanfaatkan daerah itu dalam beberapa bulan lagi.

“Kami membekalkan 195 JLH ke Seberang Perai Selatan hari ini dan 195 JLH sedang digunakan.”

Terdahulu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow yang merasmikan loji DAF Bukit Panchor berkata, kemudahan baharu itu membuktikan komitmen Pulau Pinang dalam menangani masalah di Seberang Perai dan Sungai Bakap.

“Saya memohon kesabaran, pemahaman dan sokongan semua orang di sini terhadap apa yang dilakukan syarikat itu,” katanya dalam ucapan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.