
Penganalisis berpandangan, naratif dimulakan Menteri Besar Kedah dan Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Sanusi Nor akan menjadi senjata utama untuk pembangkang mengekalkan penguasaan mereka di DUN itu.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar, berkata ketika ini kelihatan komunikasi strategik kerajaan tidak dapat memberikan naratif tersusun dan selari dalam membekalkan maklumat yang jelas.
“Oleh itu, saya merasakan ujian sebenar di PRK Sungai Bakap ialah kekuatan jentera kerajaan perpaduan memastikan sokongan pengundi Melayu beralih sedikit peratusannya berbanding PRU15 dan PRN.
“Ia pencapaian terbaik sekiranya berlaku pola perubahan pada segmen itu dalam pilihan raya ini,” katanya kepada FMT.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berpendapat, PN akan memanipulasi penyasaran subsidi diesel untuk mendapatkan sokongan kelompok pengundi yang tidak memahami isu tersebut.
“Ada kemungkinan isu kenaikan harga diesel dimainkan pembangkang sebaiknya, menyebabkan B40…orang yang tak faham perkara ini dan M40 dan T20 yang terkesan kenaikan harga diesel, di mana mereka tak mendapat manfaat mungkin sedikit jejaskan kerajaan PH kali ini,” katanya.
Katanya, justeru jentera kempen kerajaan perlu memainkan peranan besar dalam memberi penerangan dan menjelaskan keperluan penyasaran subsidi dilakukan.
“Penting sekali tempoh beberapa minggu akan datang kerajaan pastikan harga barang tak naik, buktikan penyasaran subsidi diesel betul-betul capai objektif serta tidak jejaskan golongan berpendapatan rendah,” katanya.
Peluang terjejas
Sementara itu, Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya melihat peluang calon Pakatan Harapan (PH), Joohari Ariffin, mungkin terjejas jika jentera gagal memberikan pencerahan menyeluruh sehingga ke peringkat akar umbi.

Katanya, pembangkang akan kitar semula isu lama pada PRU 2008 dan 2018 mengenai kenaikan harga diesel yang ketika itu kerajaan sekarang begitu kritikal terhadap pengurangan atau pemansuhan subsidi.
Dua pentas ceramah Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli sebelum ini ketika pelancaran jentera dan pengumuman calon PH, melihatkan beliau bertungkus-lumus menjawab tuduhan Sanusi berkaitan isu air yang melanda Sungai Bakap sejak sekian lama.
Menteri ekonomi itu juga mengulangi penjelasan berkaitan kewajaran penyasaran subsidi diesel dilaksanakan ketika beliau diserang di media sosial berkenaan janji menurunkan harga minyak ketika menjadi pembangkang.
PRK Sungai Bakap akan diadakan pada 6 Julai susulan kematian penyandang daripada PAS, Nor Zamri Latiff, 56, akibat keradangan dalam perut.