JKM teliti ahli keluarga layak jaga adik Zayn Rayyan

JKM teliti ahli keluarga layak jaga adik Zayn Rayyan

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri berkata pihaknya akan mengemukakan nama sesuai kepada mahkamah sebaik tempoh penempatan di JKM tamat.

Nancy Shukri berkata senarai nama dalam kalangan ahli keluarga Zayn Rayyan Abdul Matin diteliti JKM bagi menentukan orang yang benar-benar layak menjaga adiknya.
PETALING JAYA:
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kini meneliti senarai nama dalam kalangan ahli keluarga Zayn Rayyan Abdul Matin bagi memastikan mereka benar-benar layak menjaga adiknya.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri, berkata selepas penelitian rapi, pihaknya akan mengemukakan nama orang yang layak dan sesuai itu kepada mahkamah apabila tempoh penempatan di JKM tamat pada 9 Ogos depan.

“Buat sementara itu, kanak-kanak terbabit diletakkan di bawah penjagaan rapi JKM Selangor dan pada masa yang sama kita meneliti senarai mereka yang layak untuk penjagaan selanjutnya.

“Kita serahkan kepada mahkamah untuk memutuskan langkah seterusnya sama ada menyerahkan kanak-kanak itu kepada orang yang layak atau terus dijaga rapi oleh institusi JKM,” katanya selepas menghadiri program ‘Autism Empowerment Weekend’ di Kuching, menurut Harian Metro.

JKM Selangor semalam mendapat perintah jagaan sementara kanak-kanak itu mengikut Seksyen 25(2), Akta Kanak-kanak 2001 dari Mahkamah Majistret Shah Alam.

Pengarahnya Azmir Kassim dipetik berkata, kanak-kanak itu akan ditempatkan di institusi kebajikan bagi tempoh dua bulan sementara penyediaan laporan siasatan orang yang layak dan sesuai lengkap.

Selain itu, Nancy berkata, sebaik mahkamah memutuskan penjagaan kepada orang yang sesuai, JKM memberi tempoh untuk memastikan keserasian mereka dengan kanak-kanak itu.

Katanya, walaupun diberi hak mutlak untuk menjaganya, JKM tetap memantau rapi bagi memastikan mereka serasi.

“Ini kerana difahamkan kanak-kanak itu mempunyai masalah percakapan yang memerlukan penjagaan rapi,” katanya.

Khamis lalu, ibu bapa kepada kanak-kanak itu didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan pengabaian dengan kemungkinan boleh menyebabkan kecederaan ke atas Zayn Rayyan, tahun lalu.

Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Syahliza Warnoh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.