DUN Kota Lama kerusi tradisi kami tandingi, kata MCA Kelantan

DUN Kota Lama kerusi tradisi kami tandingi, kata MCA Kelantan

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad dilaporkan berkata, ia tidak akan serah kerusi Kota Lama yang dimenanginya pada PRN 2023 kepada parti lain.

Ketua MCA Kelantan, Chua Hock Kuan berkata, tiada kerusi lain yang lebih sesuai untuk MCA kerana Kelantan tiada lagi kawasan yang masyarakat Cinanya mencecah 30%. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Tiada kawasan lain lebih sesuai daripada DUN Kota Lama yang ditandingi MCA Kelantan secara tradisi, kata Ketuanya, Chua Hock Kuan selepas Amanah enggan menyerahkan kerusi dimenanginya pada PRN lalu kepada parti lain pada PRU16.

“Secara logiknya, tiada kerusi lain yang lebih sesuai untuk MCA kerana Kelantan tiada lagi kawasan yang masyarakat Cinanya mencecah 30%,” kata Chua kepada FMT.

“Dalam PRN enam negeri yang lepas, kita sedia turun bertanding kerana tidak pernah berhenti berkhidmat di kawasan ini. Namun, kerusi itu diserahkan kepada Pakatan Harapan (PH) dan MCA waktu itu ambil keputusan tarik diri bertanding di semua enam PRN negeri.”

Semalam, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad dilaporkan berkata, parti itu tidak akan memberi laluan kepada parti lain, termasuk MCA dari BN di kerusi DUN Kota Lama yang dimenanginya pada PRN tahun lalu.

Katanya, Amanah berpegang kepada amalan sedia ada, iaitu parti penyandang kekal bertanding di kawasan terbabit, merujuk kemenangan wakilnya, Dr Hafidzah Mustaqim dengan majoriti tipis 202 undi pada PRN Ogos lalu.

Chua berkata, MCA negeri menghargai sokongan parti komponen BN di Kelantan yang meluluskan resolusi untuk memberi kerusi kepada parti itu bertanding pada PRU16.

“MCA sebagai parti nasional, sememangnya mengharapkan setiap negeri ada kerusi dan wakil untuk membawa perjuangan parti.

“Resolusi BN Kelantan itu ibarat kembali kepada asal, di mana semasa BN bertanding solo dulu, kerusi ini (Kota Lama) sememangnya kerusi ditandingi MCA.

“Hanya pada PRN enam negeri yang lepas berlaku keadaan luar biasa, di mana PH-BN bergabung dan kerusi tersebut ditagih PH dan PH menyerahkan kerusi tersebut kepada Amanah.”

Sabtu lalu, Ketua BN Kelantan, Ahmad Jazlan Yaakub dilaporkan berkata, MCA akan diberikan sebuah kerusi DUN untuk bertanding pada PRU16.

Dianggarkan terdapat 30% pengundi Cina daripada 33,043 pengundi di kerusi DUN Kota Lama.

Kali terakhir MCA memenangi DUN Kota Lama pada PRU 1995. Tetapi, sejak PRU 1999 sehingga 2023, PAS menguasai kerusi itu melalui calonnya, Anuar Tan Abdullah sebelum dimenangi wakil Amanah pada PRN enam negeri Ogos 2023 selepas bekerjasama dengan BN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.