Disyaki bunuh ibu, lelaki ditahan

Disyaki bunuh ibu, lelaki ditahan

Suspek dikatakan menghubungi abangnya dan memaklumkan bahawa dia menikam ibu mereka dengan gunting.

handcuff
Seorang suspek berusia 40 tahun dan dipercayai mempunyai masalah mental ditahan, kerana disyaki membunuh ibunya.
GEORGE TOWN:
Polis menahan seorang lelaki yang disyaki membunuh ibu kandungnya sendiri dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Relau, petang tadi.

Ketua Polis Timur Laut, Razlam Ab Hamid, berkata suspek yang berusia 40 tahun dan dipercayai mempunyai masalah mental, ditahan di pangsapuri terbabit selepas polis menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada abangnya.

Suspek dikatakan menghubungi abangnya pada kira-kira 5 petang dan memaklumkan bahawa dia telah menikam ibu mereka yang berusia 67 tahun dengan gunting.

“Berdasarkan siasatan awal, sebelum kejadian dua anak mangsa telah menghubungi ibu mereka namun panggilan tersebut tidak dijawab… bagaimanapun, mereka dikejutkan dengan panggilan suspek yang memaklumkan telah menikam ibu mereka menggunakan gunting dan wanita itu sudah meninggal dunia,” katanya.

Razlam berkata siasatan juga mendapati mangsa hanya datang ke rumah peninggalan suaminya itu tiga hari seminggu iaitu pada Jumaat, Sabtu, serta Ahad; dan pada hari lain dia tinggal bersama anak sulung di Batu Maung.

Suspek juga mengugut untuk membunuh semua ahli keluarganya sebelum ini dan pernah menerima rawatan psikiatri tahun lepas.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat dan siasatan lanjut dijalankan bagi mengenalpasti motif kejadian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.