
Presidennya Amali Munif Rahmat berkata pihaknya menyambut baik gesaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya tambang tidak dinaikkan kerana sektor pengangkutan awam itu terus menikmati bantuan bahan api itu di sebalik penyasaran subsidi mulai Isnin lalu.
Namun dakwanya ada segelintir pengusaha tidak dapat menikmati sepenuhnya bantuan itu kerana kerenah birokrasi syarikat minyak yang mungkin menjejaskan kos operasi sekali gus diturunkan pula kepada pengguna.
“Bila nak aktifkan kad fleet ada masalah, sistem tergendala dan macam-macam birokrasi.
“Ramai tak dapat guna kuota subsidi mereka, jadi kita minta kerajaan kalau mahu pengusaha bas sekolah tak naik tambang kena permudahkan,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas amaran Anwar supaya pengusaha bas sekolah tidak menaikkan tambang perkhidmatan kerana kenderaan itu menerima subsidi diesel daripada kerajaan.
Anwar menegaskan jika kenaikan tambang berlaku sehingga membebankan pelajar, kerajaan tidak teragak-agak mengambil tindakan dengan menarik balik lesen mereka.
Bas sekolah, antara kenderaan pengangkutan awam mendapat kad fleet bawah program Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan menikmati kuota 1,800 liter diesel sebulan dengan harga RM1.88 seliter.
Mulai Isnin lalu, kerajaan menetapkan harga bahan api itu pada kadar RM3.35 seliter di Semenanjung menerusi pelaksanaan penyasaran subsidi diesel yang mampu menjimatkan RM4 bilion setahun.
Dalam pada itu, Amali menafikan pihaknya akan menaikkan kadar tambang dalam masa terdekat dengan keputusan hanya dibuat sekiranya ada kenaikan kos sampingan seperti alat ganti.
“Bukan naik harga sebab dapat subsidi diesel, tetapi akan lihat kos operasi lain juga,” katanya.