Naik tambang kerajaan tarik lesen, PM beri amaran pengusaha bas sekolah

Naik tambang kerajaan tarik lesen, PM beri amaran pengusaha bas sekolah

Anwar Ibrahim menegaskan bas sekolah antara kenderaan yang masih menikmati subsidi diesel.

Lesen pengusaha bas sekolah akan ditarik balik jika menaikkan tambang.
PUTRAJAYA:
Pengusaha bas sekolah diberi amaran tidak menaikkan tambang perkhidmatan kerana kenderaan itu menerima subsidi diesel daripada kerajaan.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata jika kenaikan tambang berlaku sehingga membebankan pelajar, kerajaan tidak teragak-agak mengambil tindakan dengan menarik balik lesen mereka.

“Bagi amaran, kalau kamu diberi subsidi minyak, kamu naikkan (kadar tambang)…kamu jaga.

“Kalau naik, kami tarik (balik) lesen,” katanya semasa berucap dalam program Himpunan Aspirasi Madani Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam Bersama Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Semalam, dua persatuan mewakili sektor pengangkutan berkata bantuan kad fleet bawah program Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) membantu pengusaha bas sekolah dan ekspres mengekalkan tambang sedia ada tanpa membebankan pengguna.

Presiden Persekutuan Persatuan Bas Sekolah Malaysia, Amali Munif Rahmat, berkata kuota 1,800 liter diesel sebulan dengan harga RM1.88 seliter yang terus dinikmati mereka membolehkan kos operasi dikekalkan.

SKDS antara inisiatif diperkenalkan kerajaan untuk mengurangkan beban pengusaha sektor pengangkutan awam darat dan barangan dengan penerima kad fleet boleh membeli diesel bawah harga runcit.

Mulai Isnin lalu, kerajaan menetapkan harga bahan api itu pada kadar RM3.35 seliter di Semenanjung menerusi pelaksanaan penyasaran subsidi diesel yang mampu menjimatkan RM4 bilion setahun.

Selain SKDS, kerajaan juga melaksanakan inisiatif Budi Madani yang menyalurkan RM200 sebulan kepada pemilik kenderaan diesel persendirian, petani dan pekebun kecil.

Dalam pada itu, Anwar berkata kerajaan teliti dalam melaksanakan penyasaran subsidi diesel agar rakyat tidak terbeban.

Beliau berkata, disebabkan itu nelayan dan pekebun kecil juga menikmati subsidi diesel dan meminta pengusaha bas sekolah yang masih tidak menerima subsidi diesel mengambil kad fleet mereka.

“Kalau betul belum dapat ambil ‘fleet card’, kita bayar,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.