Kerajaan benar tambahan sementara kuota diesel bas ekspres 50%, kata persatuan

Kerajaan benar tambahan sementara kuota diesel bas ekspres 50%, kata persatuan

Keputusan itu menyusul cadangan menambah kuota diesel kepada 10,000 liter dikemukakan kepada ketua setiausaha Perbendaharaan semalam.

persatuan bass
Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia menghadiri sesi libat urus dengan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Johan Mahmood Merican di Kementerian Pengangkutan, Putrajaya semalam. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Presiden Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia Laili Ismail berkata kerajaan membenarkan kuota diesel ditambah 50% buat sementara untuk bas ekspres.

Beliau berkata, keputusan itu menyusul cadangan pihaknya menambah kuota sedia ada 2,880 liter kepada 10,000 liter yang dikemukakan kepada Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Johan Mahmood Merican dalam pertemuan semalam.

“Masa perbincangan tadi (semalam), dia bagi kenaikan kuota diesel itu kepada 50% daripada 2,880 liter sebulan secara terus.

“Jadi, dapat 4,320 liter sebulan sementara nak tunggu keputusan penuh penambahan kuota diesel untuk bas ekspres,” katanya kepada FMT sambil mengucapkan terima kasih kepada kerajaan.

Rabu lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali, berkata kementeriannya akan meneliti permohonan menambah jenis pengangkutan barangan bawah SKDS serta mempertimbangkan cadangan menambah kuota asas diesel untuk pengangkutan awam.

Menerusi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 1.0, sektor pengangkutan awam darat berkelayakan termasuk bas ekspres, bas sekolah, ambulans dan bomba kekal membeli diesel pada harga RM1.88 seliter.

Bagi SKDS 2.0, kenderaan logistik berkelayakan akan menggunakan kaedah kad fleet bagi membendung kesan terhadap harga barangan pengguna, dengan harga diesel ditetapkan pada RM2.15 seliter.

Laili berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup akan memaklumkan tambahan kuota sementara untuk bas ekspres kepada pengusaha stesen minyak.

Buat masa ini, katanya pengusaha bas ekspres diberikan kuota 2,880 liter pada harga RM1.88 bawah SKDS.

“Selepas jumlah itu kena bayar RM3.35 seliter. Jadi, masa perjumpaan (pihak kerajaan) tanya kita berapa kuota nak ditambah, kita cadangkan tambah 8,000 ke 10,000 liter sebulan untuk bas ekspres,” katanya sambil menambah cadangan itu dikemukakan kerana kuota diesel sedia ada tidak mencukupi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.