Ejen insurans ugut bunuh pelanggan ditahan

Ejen insurans ugut bunuh pelanggan ditahan

Polis berkata pelanggan mahu membatalkan polisi insurans itu kerana tidak mampu membuat bayaran bulanan.

Ketua Polis Barat Daya Kamarul Rizal Jenal berkata Lelaki berusia 30 tahun itu ditahan pada Rabu susulan laporan polis dibuat oleh mangsa yang merupakan seorang penghantar makanan.
BALIK PULAU:
Polis menahan seorang ejen insurans bagi membantu siasatan berhubung kes ugutan bunuh terhadap pelanggannya di Bayan Lepas dalam kejadian pada Ahad lalu.

Ketua Polis Barat Daya Kamarul Rizal Jenal berkata lelaki berusia 30 tahun itu ditahan pada Rabu susulan laporan polis dibuat oleh mangsa yang merupakan seorang penghantar makanan.

“Lelaki berusia 28 tahun itu membuat laporan polis pada Rabu dan memaklumkan dia menghubungi ejen tersebut kerana mahu membatalkan polisi insurans berikutan tidak mampu untuk membayar serta tidak lagi berminat untuk meneruskannya.

“Ejen itu mengugut untuk membunuh mangsa jika dia membatalkan polisi insurans tersebut dan suspek juga memaklumkan akan membayar polisi insurans lelaki itu bagi tempoh tiga bulan supaya cukup tempoh satu tahun melanggan polisi insurans berkenaan,” katanya.

Kamarul berkata suspek turut mengugut mangsa sekiranya mendapat tahu lelaki itu ke pejabatnya untuk membatalkan insurans.

Menurutnya, ejen insurans itu kini direman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.